KUALA LUMPUR – Semakin ramai tampil melahirkan kegusaran terhadap Naib Ketua Wanita Keadilan Pusat, Datin Faizah Ariffin.

Terbaharu, Naib Ketua Wanita Keadilan Selangor, Shoba Selvarajoo mendakwa serangan terhadap Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin itu sebenarya lebih bersifat peribadi, tidak matang dan terlampau mengikut perasaan.

Sebaliknya, kata Shoba dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette sebentar tadi, Faizah juga telah menghamburkan perkataaan tidak sesuai terhadap pemimpin parti sendiri.

Ia tidak akan membantu mana-mana pihak sebaliknya hanya mencetuskan rasa tidak senang antara satu sama lain.

“Berilah pandangan, itu sememangnya kebebasan yang kita amalkan dalam parti serta perjuangan kita selama ini, tetapi apa yang mengecewakan sebenarnya cara ianya di sampaikan yang lebih emosional dan serangan peribadi.

“Pandangan seumpama itu hanya akan menyebabkan jurang serta kebencian sahaja malah ini juga sebenarnya tidak langsung menggambarkan keperibadian atau kepimpinan anda dalam parti.

“Saya ingin berpesan kepada Faizah supaya jangan jadi seperti ‘tikus membaiki labu’ yang bermaksud apa yang perlu diperbaiki itu terus dirosakkan  semata-mata gelojoh dan tamak.

“Cukup-cukuplah, kerana kenyataan seperti ini buat kita semua jadi tidak senang duduk walhal ada banyak lagi perkara penting yang perlu menjadi fokus pada masa ini, berhematlah ketika memberi pandangan dan jangan terlampau emosi,” katanya.

Shoba mengulas kenyataan Faizah yang menggambarkan Zuraida  bersikap seperti ‘mak lampir tak bertuan’ dalam kenyataannya.

Jelas Shoba lagi, beliau yang berbangsa India sebenarnya cukup mengenali diri Zuraida yang juga merupakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Zuraida bukan sahaja lantang bersuara malah sebenarnya banyak berjasa pada masyarakat.

“Benar beliau sangat lantang, jika tidak setuju beri pandangan yang cukup membina. Jangan cakap seolah-olah macam beliau langsung tidak bermakna apa-apa. Banyak kebaikan dan jasa telah ditaburkan oleh beliau kepada parti dan rakyat khasnya sebelum PRU-14.

“Saya nampak betapa sayangnya beliau kepada parti kita, kita juga yakin apa yang telah dilontarkan oleh Zuraida sebenarnya ada juga kebenaran dan membawa kebaikan secara keseluruhan kepada parti,” tegasnya.

Faizah juga sebelum ini telah menyarankan Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang meninggalkan PKR sekiranya tidak lagi menghormati keputusan bersama yang dibuat pucuk pimpinan. –MalaysiaGazette

Zuraida boleh angkat kaki dari PKR – Faizah

Faizah, tak faham makna sebenar kebebasan bersuara