Nor Hizwan Ahmad

KUALA LUMPUR – Kritikan serta kenyataan berbaur menghina yang dikeluarkan oleh Naib Ketua Wanita PKR, Datin Faizah Ariffin terhadap Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin sebenarnya sesuatu yang tidak boleh diterima.

Malah pandangan beliau itu disifatkan sebagai tidak memahami makna sebenar perjuangan yang memperjuangkan kebebasan hak bersuara serta demokrasi oleh oleh PKR selama ini.

Itu luahan Ketua Penerangan Keadilan Cabang Ampang merangkap Setiausaha Politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad sebentar yang ternyata gusar dengan kenyataan Faizah.

“Kenyataan yang telah dikeluarkan oleh naib presiden kita walaupun seolah-olah menentang arus namun pada masa yang sama ianya patut dihormati.

“PKR sebenarnya tertubuh atas iltizam dengan setiap ahlinya mempunyai hak untuk bersuara dan tidak hanya sekadar menjadi ‘pak turut’ semata-mata kepada mana-mana pihak. Itu sebenarnya perjuangan parti ini. Ingatlah.

“Semoga Faizah juga dapat berfikir secara lebih matang dan tidak menggunakan kata-kata seumpama itu selepas ini ketika melontarkan sebarang pendapat anda, ada lagi yang lebih beradab sopan.

“Sebenarnya kenyataan ini bukan sahaja telah memalukan Wanita Keadilan sebaliknya diri beliau sendiri sebagai salah seorang pemimpin dalam Wanita, kata-kata itu juga mencerminkan dirinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Faizah dalam kenyataan hari mendesak Zuraida meninggalkan PKR sekiranya tidak lagi menghormati keputusan bersama yang dibuat pucuk pimpinan.

Faizah menegaskan, sebagai pemimpin, Ahli Parlimen Ampang itu seharusnya senada bagi mempertahankan keputusan apatah lagi hadir di dalam mesyuarat biro politik parti itu yang membincangkan isu video seks mirip Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Apa sebenarnya yang beliau mahu dan mengapa berperangai seperti ‘mak lampir’ tak bertuan? Mengapa beliau terlalu biadab sehingga tidak mahu patuh kepada kata sepakat yang dia sendiri terlibat? Adakah beliau berasa sudah cukup besar kepala sekarang?

“Ia tak boleh dibiarkan dan perlu diambil tindakan tata tertib. Tindakannya jelas tidak menghormati parti dan sudah tiba masanya untuk beliau angkat kaki keluar daripada parti ini,” katanya kemudian mendapat pelbagai reaksi.

Jelas Hizwan lagi, tugas hakiki yang lebih penting dan perlu diberi keutamaan adalah membela rakyat Malaysia selain daripada terus menunaikan setiap apa yang termaktub dalam manifesto.

“Saya sangat berharap selepas ini beliau sedar bahawa tugas utama kita adalah untuk membela nasib rakyat kita sendiri, tunaikan manifesto pilihan raya selain memaut akrab kepercayaan pengundi secara keseluruhan, itu adalah fokus serta kepentingan kita,” tegasnya. –MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/06/25/zuraida-boleh-angkat-kaki-dari-pkr-faizah/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/06/24/kalau-saya-presiden-saya-sudah-pecat-haziq-zuraida/