Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersedia menjual Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) tetapi masih mahu mengekalkan identiti kebangsaannya.

“Kita ingin menjual MAS tetapi kita ingin mengekalkan identitinya sebagai syarikat penerbangan Malaysia” kata Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditemui selepas majlis Meja Bulat Asia-Pasifik Ke-33.

Menurutnya, kerajaan kini membantu Malaysia Airlines dengan berhati-hati.

Ini kerana, katanya, kerajaan telah melakukan banyak perubahan kepada Malaysia Airlines dan setiap kali perubahan dilakukan ia gagal.

“Jadi, buat masa sekarang kita mesti lebih berhati-hati,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, bukan sahaja perubahan mesti dilakukan dalam pengurusan tetapi masih banyak perkara yang silap di dalam syarikat penerbangan itu yang perlu diperbetulkan.

Sebelum ini, banyak pihak yang kecewa dengan pencapaian Malaysia Airlines yang gagal untuk tahun kelima disenaraikan sebagai antara 20 syarikat penerbangan terbaik dunia.

Malaysia Airlines tidak berada dalam kedudukan itu selepas tahun 2014.

Syarikat penerbangan negara itu jatuh pada tempat ke-24 pada tahun 2015 dan 34 pada tahun 2016. Prestasinya terus menjunam kepada tempoat ke-31 pada tahun 2017 dan ke-34 pada tahun lalu. – MalaysiaGazette