Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin secara terbuka menegur pejabat sebuah kementerian yang didakwa tidak professional dalam menggunakan surat rasmi kerajaan.

Dalam satu entri di Facebook, Dr Asri berkata, ia merupakan tindakan tidak matang apabila kepala surat kerajaan dijadikan pendekatan untuk melahirkan rasa kecewa seorang menteri.

“Kepala surat (letterhead) kerajaan atau kementerian tidak wajar digunakan untuk urusan-urusan yang selekeh. Ia akan mendedahkan banyak kedangkalan lain dan cara yang tidak matang,” katanya hari ini.

Teguran ini dipercayai dilemparkan kepada pejabat Kementerian Pertahanan yang mengeluarkan surat tanda kecewa terhadap perkhidmatan Malaysia Airlines Berhad (MAB) selepas Menterinya, Mohamad Sabu gagal mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di London.

Mengulas lanjut, Dr Asri turut menasihatkan agar menteri atau pegawai kerajaan Pakatan Harapan (PH) terlebih dahulu diberikan kursus induksi mengenai tatacara pentadbiran kerajaan.

Jelasnya, ia perlu bagi menjaga tahap profesionalisme dalam kalangan ahli-ahli Kabinet dan pegawai kerajaan.

“Saya mohon mencadangkan untuk menteri-menteri atau pegawai-pegawai baru menteri yang tidak cukup pengetahuan atau pengalaman mengenai urustadbir diberikan kursus induksi. Ini penting supaya tidak bertindak secara yang sangat tidak profesional,” katanya lagi.

Semalam, pejabat Mohamad Sabu berkata disebabkan kelewatan penerbangannya daripada Kuala Lumpur mengakibatkan beliau tidak dapat bertemu Dr. Mahathir yang mengadakan lawatan kerja di United Kingdom.

“Pada 16 Jun 2019, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu sepatutnya mempunyai temujanji penting untuk bertemu dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di London, England.

“Akan tetapi, disebabkan kelewatan pesawat Malaysia Airlines MH0002 untuk berlepas selama lebih kurang dua jam 30 minit dari Kuala Lumpur pada malam 15 Jun 2019, temujanji yang sepatutnya berlaku pada pagi 16 Jun 2019 itu gagal untuk berlangsung.

“Menteri Pertahanan singgah ke London semata-mata untuk bertemu dengan perdana menteri dalam perjalanannya untuk lawatan rasmi ke Perancis,” kata kenyataan semalam. -MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

Mat Sabu salahkan MAS tak dapat jumpa PM di London