A. Kadir Jasin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu lebih berhati-hati dalam meneliti cadangan pembelian empat syarikat konsesi lebuh raya yang dikuasai oleh Gamuda Bhd.

Datuk A. Kadir Jasin berkata, ini kerana cadangan jualan aset-aset milik Gamuda yang bernilai RM6.2 bilion itu mengambil kira baki tempoh konsesi.

Penasihat Media dan Komunikasi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata, ada pihak yang mengatakan ia urus niaga menang-menang, yang lain tidak pasti.

Ada pula yang menyatakan adalah lebih murah dengan membayar pampasan kepada Gamuda untuk tidak mengutip tol berbanding membeli empat lebuh raya berkenaan.

Alasan mereka kerana jumlah pampasan itu adalah RM5.3 bilion, kurang sebanyak RM900 juta daripada cadangan harga pembelian RM6.2 bilion.

Katanya, lebuh raya berkenaan hanya akan diserahkan kepada kerajaan kira-kira 10 tahun apabila tempoh konsesi berakhir.

“Ini mengingatkan saya tentang pembelian IPP (penjana tenaga bebas) Edra. IPP ini dipulangkan kepada kerajaan hampir tanpa bayaran.

“Sekarang ia jadi milik China kerana 1MDB menjual Edra kepada China beberapa bulan terakhir ketika BN berkuasa,” katanya melalui hantaran di Facebooknya. – MalaysiaGazette