Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin. foto AFFAN FAUZI, 25 JUN 2019

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau akan mengumumkan senarai nama pasukan petugas khas bagi menyiasat laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung kehilangan aktivis, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh, esok.

Beliau berkata, mereka yang dilantik akan diberikan skop tugasan dan tanggungjawab untuk menyiasat kes kehilangan dua aktivis itu dalam tempoh enam bulan.

“Saya akan lantik anggotanya sehari dua ini dan namanya akan diumumkan. Kita akan beri skop tugas dan tanggungjawab, tempohnya enam bulan.

“Lepas itu kita akan lihat laporan yang akan dibuat oleh pihak pasukan petugas khas yang kita bentuk,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilifitri Jabatan Imigresen Malaysia, di sini, hari ini.

Minggu lepas, Muhyiddin sudah menyenarai pendek beberapa calon yang difikirkan sesuai untuk menganggotai pasukan petugas khas itu.

Bagaimanapun pihaknya perlu mendapatkan persetujuan dengan pihak yang dicadangkan itu meskipun ia telah dipersetujui oleh jemaah menteri. – MalaysiaGazette