Rocco Morabito. foto Agensi

MONTEVIDEO – Bos mafia Itali, Rocco Morabito yang sedang menunggu masa untuk diekstradisi ke Itali berjaya memboloskan diri daripada penjara di Uruguay.

Uruguay bersetuju untuk mengekstradisi pengedar dadah yang terkenal sebagai “raja kokain Milan” ke Itali.

Ketua geng jenayah Ndrangheta itu telah menjadi pelarian yang paling kehendaki Itali sejak tahun 1995.

Dia ditangkap pada tahun 2017 di Punta del Este, selepas hidup dengan identiti palsu selama satu dekad.

Mafia Ndrangheta berasal dari Calabria di selatan Itali, dikatakan telah melaksanakan 80 peratus perdagangan kokain di Eropah.

Morabito dan tiga penghuni lain “melarikan diri melalui lubang di bumbung bangunan” lewat Ahad lalu dan merompak pemilik sebuah rumah ladang berdekatan untuk mendapatkan wang, kata Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan (dalam bahasa Sepanyol).

“Ia membingungkan dan begitu serius apabila seorang penjenayah seperti Rocco Morabito, ketua ‘Ndrangheta’ berjaya melarikan diri dari penjara di Uruguay ketika menanti masa untuk diekstradisi ke Itali,” kata Menteri Dalam Negeri Itali, Matteo Salvini dalam satu kenyataan ringkas.

Bagaimanapun, Salvini bertekad akan terus memburu Rocco di mana sahaja dia berada. – MalaysiaGazette