Perwakilan Wanita UMNO yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 29 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Realitinya struktur UMNO sekarang terlalu tinggi kosnya untuk menjadi sebuah parti pembangkang.

Ini kerana ketua bahagian perlu berbelanja ibarat kenduri kahwin untuk mengelolakan satu mesyuarat bahagian, kata bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Zaidel Baharuddin.

“Saya cadang, kita rombak balik struktur keahlian dan cawangan untuk jimatkan kos. Struktur parti ialah penyediaan jentera untuk pilihanraya umum dan bukannya pemilihan parti.

“Pertama, yuran tahunan RM50 dikenakan ke atas keahlian, nenek moyang kita bergolok gadai emas demi perjuangan kalau RM50 ringgit pun tak sanggup, susahlah, tak payahlah jadi ahli,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurut Zaidel, untuk mengundi mesti jadi ahli aktif selamat tiga tahun dan dari RM50, RM20 pergi ke bahagian, RM10 ke perhubungan negeri dan RM20 ke pusat.

“Jadi barulah semangat bahagian hendak menambahkan ahli, ada sumber pendapatan. dan kalau betullah kita ada tiga juta ahli, UMNO pusat ada pendapatan stabil RM60 juta setahun melalui keahlian sahaja.

“Kedua, cawangan hanya wujud berdasarkan PDM sahaja, fungsi utama cawangan dan AJK cawangan ialah sebagai jentera pilihanraya.

dan ketiga, setiap ahli automatik dapat ke mesyuarat bahagian yang akan ditentukan oleh UMNO bahagian dan diumumkan oleh UMNO pusat.

“Di mesyuarat bahagian mereka boleh membawa usul, bahas dan mengundi usul.

19. Pemilihan pula dibuat secara pilihan raya umum, waktu mengundi dari jam sekian ke jam sekian, bawa IC, ambil kertas undi dan pangkah. Senang, tak perlu nak kepung-kepung perwakilan dalam hotel, mana mampu lagi dah nak perabiskan duit, tak payah membazir duit pada mambang broker politik kedai kopi yang meniaga perwakilan,” katanya.

Keempat, menurutnya, buat pendaftaran online yang tidak memerlukan kelulusan peringkat pimpinan tertinggi.

“Di kala menjadi pembangkang ini saya ingat kita pastikan ada nilai dalam memegang kad keahlian UMNO. Berikan suara sebenar kepada akar umbi, di mana setiap ahli ada kuasa untuk mengundi di bahagian, bersuara dan memberikan pendapat.

“Barulah kita dapat menarik orang baru kepada parti dan menjadi sebuah parti yang benar-benar mendalami isi hati rakyat,” katanya.

Terdahulu, menurutny, jika UMNO betul-betul nak berubah, langkah pertama ialah untuk meletakkan nilai pada keahlian UMNO.

“Jujurnya, hari ini, menjadi ahli UMNO itu tiada nilainya, tiada makna dan tiada suara, kenapa saya berkata begitu?

Kerana kalau anda gagal atau dihalang untuk menghadiri mesyuarat cawangan dan anda tidak dapat menjadi perwakilan bahagian.

“Kalau anda bukan perwakilan bahagian, maka anda tidak dapat mengundi atau bersuara dan kalau hari ini ada individu yang daftar masuk UMNO, bukan sahaja seksa untuk borang anda diluluskan, keahliannya tiada makna di bahagian kalau tidak lepas di cawangan.

“Lebih mudah untuk anda melanggan Astro dari menjadi ahli UMNO,” katanya.- MalaysiaGazette