Datuk Seri Hasan Malek (tengah) antara tujuh individu yang hadir ke mahkamah tinggi bagi membuat permohonan pelucutan sivil yang dibawa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan dana dari 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 26 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Jalan Duta hari ini menetapkan 29 Julai ini bagi pengurusan kes untuk permohonan perlucutan hak sivil yang difailkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap tujuh daripada 41 responden.

Ia membabitkan sejumlah RM216,049,556.79 yang dituntut suruhanjaya itu daripada dana 1Malaysia Development Bhd. (1MDB)

Mahkamah yang sama turut menetapkan tempoh dua bulan sehingga 25 Ogos ini kepada pendakwaraya (SPRM) untuk mewartakan notis kepada pihak ketiga (orang luar berkepentingan dalam wang berkaitan skandal 1MDB itu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar prosiding pagi tadi membenarkan permohonan Pendakwa Raya untuk mewartakan notis itu mengikut Seksyen 56 (1) dan 61(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram AMLATFPUAA.

SPRM memfailkan perlucutan hal sivil itu yang di bawah akta berkenaan pada 19 Jun lalu.

Proses pewartaan kepada pihak ketiga itu sebenarnya membolehkan pihak ketiga yang ada kepentingan dengan wang itu tampil ke mahkamah dan menjelaskan sebab ia tidak patut dilucutkan hak oleh kerajaan pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Seramai tujuh responden yang terdiri daripada entiti syarikat dan individu dipanggil ke mahkamah hari ini untuk mendengar permohonan yang difailkan oleh SPRM yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Kamal Bahrin Omar di hadapan Mohamed Zaini Mazlan.

UMNO mendahului senarai tujuh responden yang disyaki menerima dana sebanyak RM212,965,413.61, Datuk Seri Abdul Manan Ismail (Allahyarham) RM265,146.16, Wanita MCA (RM300,000), Binsabi Sdn.Bhd (RM827,250), Perano Sdn.Bhd (RM337,634.78) Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah (RM1,254,112.24) dan Hasan Malek (RM100,000).

UMNO diwakili peguambela, Nurfazreen Hazrina Rahim manakala bekas Ahli Parlimen UMNO-BN Paya Besar, Allahyarham Abdul Manan diwakili balunya, Datin Seri Rohizah Ahmad.

Wanita MCA pula diwakili peguam Alane Neo dan Binsabi Sdn.Bhd diwakili Muhammad Hasif Hassan dan Mohd Khalil Tajuddin.

Syarikat Perano Sdn. Bhd diwakili Thevini Nayagam, UMNO Sabah diwakili Harcharanjit Singh manakala Hasan Malek muncul di mahkamah bersama peguamnya, Amin Othman.

Kamal Baharin ketika ditemui pemberita berkata pihaknya memerlukan dua minggu untuk memfailkan permohonan menukar nama arwah Abdul Manan kepada pemegang amanah.- Malaysiagazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.