Dr. Maszlee Malik. foto NOOREEZA HASHIM, 29 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan telah mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru untuk menjalankan siasatan berhubung seorang guru telah merotan seorang murid perempuan kerana menegur beliau dengan ayat ‘Ah qua lao Shi’ (Cikgu Pondan).

Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, daripada laporan yang diterimanya, siasatan telah mula dijalankan dan PPD juga akan mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa murid berkenaan.

“KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) positif perkara ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat, mengikut tatacara dan SOP yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan rakaman video yang memaparkan seorang guru dimarahi seorang perempuan kerana merotan seorang pelajar perempuan sehingga mendatangkan kesan lebam yang kdelihatan di lengan dan kaki yang tular di laman media sosial.

Video berdurasi selama 28 saat itu menunjukkan tersebut cuba untuk menjelaskan tindakannya itu kepada wanita tersebut yang dipercayai ibu kepada pelajar terbabit yang memakai pakaian sekolah.

Menurut beliau, pihaknya menolak sebarang bentuk kekerasan ke atas pelajar.

Sementara itu, Maszlee menasihatkan orang ramai agar menghentikan penularan video dan gambar-gambar berkaitan kes itu demi menjaga imej guru dan murid tersebut dan memberi ruang kepada PPD Johor Bahru dan pihak terbabit untuk menjalankan tugas menjalankan siasatan sebaik mungkin. – MalaysiaGazette