Zuraida Kamaruddin. foto NOOREEZA HASHIM, 19 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Naib Ketua Wanita PKR, Faizah Ariffin menyarankan Naib Presiden parti itu, Zuraida Kamaruddin meninggalkan PKR sekiranya tidak lagi menghormati keputusan bersama yang dibuat pucuk pimpinan.

Faizah menegaskan, sebagai pemimpin, Ahli Parlimen Ampang itu seharusnya senada bagi mempertahankan keputusan apatah lagi hadir di dalam mesyuarat biro politik parti itu yang membincangkan isu video seks mirip Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Jelasnya, beliau musykil apakah Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak berfungsi dalam mesyuarat atau hanya menyuarakan rasa tidak puas hati atas keputusan yang dibuat bersama.

“Apa sebenarnya yang beliau mahu dan mengapa berperangai seperti ‘mak lampir’ tak bertuan? Mengapa beliau terlalu biadab sehingga tidak mahu patuh kepada kata sepakat yang dia sendiri terlibat? Adakah beliau berasa sudah cukup besar kepala sekarang?

“Ia tak boleh dibiarkan dan perlu diambil tindakan tata tertib. Tindakannya jelas tidak menghormati parti dan sudah tiba masanya untuk beliau angkat kaki keluar daripada parti ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mesyuarat diadakan minggu lalu susulan pengakuan Haziq Abdullah Abdul Aziz sebagai individu yang dirakam dalam video seks itu, PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab kepadanya pada 19 Jun lalu dan keputusan itu kemudian dipersetujui biro politik secara konsensus.

Haziq diberi masa 14 hari untuk berbuat demikian.

Sebelum ini, Haziq juga dipecat daripada jawatan setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama beberapa hari selepas menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kementerian itu.

Sementara itu, Faizah berkata, setiap perlakuan sumbang manusia yang melibatkan skandal akan berakhir dengan tragedi.

“Siapa sahaja pasangan Haziq yang sebenarnya akan ditentukan oleh pihak berkuasa atau akan dicerminkan oleh Allah suatu hari kelak,” katanya. – MalaysiaGazette