Datuk Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR – Ada dalam kalangan 41 individu dan syarikat yang dinamakan dalam permohonan melucut hak bawah Seksyen 56 Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 telah berusaha untuk memulangkan semula wang milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, ada responden yang telah melantik peguam bagi mengadakan perbincangan dengan SPRM dalam usaha memulangkan semula wang yang diterima mereka.

“Seperti yang saya katakan, selepas kita failkan itu ada syarikat gunakan peguam untuk memulangkan wang tersebut,” katanya.

Beliau hadir ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya bagi mendengar kes pendakwaan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Azam bagaimanapun tidak memperincikan jumlah responden yang mahu berbuat demikian.

Jumaat lalu, Latheefa dalam sidang media mendedahkan agensi penguatkuasa itu telah menfailkan 41 kes permohonan melucut hak membabitkan jumlah dana bernilai RM270 juta yang diterima daripada 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Menurut Latheefa, antara transaksi paling tinggi membabitkan UMNO iaitu sebanyak RM212 juta dan ia membabitkan satu akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kesemua permohonan itu adalah di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Beliau yang ditanya sama ada SPRM akan memanggil persatuan wartawan dan jurugambar Pulau Pinang yang disebut oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng turut menerima sumbangan dana 1MDB, Azam berkata, pihaknya akan memanggil sesiapa sahaja untuk tujuan siasatan.

“Mana-mana pihak yang menerima dan didapati ada sebab untuk dipanggil, kita panggil,” katanya lagi.

Semalam, Guan Eng mendedahkan terdapat beberapa lagi kesatuan, persatuan dan individu yang turut menerima sumbangan dana 1MDB berdasarkan senarai yang ada di Kementerian Kewangan.

Ia termasuk kesatuan wartawan dan jurugambar akhbar di Pulau Pinang yang menjadi antara pihak yang menerima wang 1MDB. – MalaysiaGazette