Mohamed Azmin bakal menjadi saingan sengit Anwar pada masa akan datang.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

PERTAMANYA, saya puji langkah Azmin, Timbalan Presiden KEADILAN yang julung-julung kalinya di dalam sejarah beliau menjadi Timbalan Presiden rajin dan begitu mesra untuk bertemu dengan tenaga-tenaga kerja di pejabat KEADILAN di seluruh negeri baru-baru ini.

Secara tiba-tiba semua SUK dan kakitangan pejabat merasai Azmin amat ramah dan peka kepada mereka. Alhamdulillah.

Itulah hikmahnya sesuatu kejadian. Jangan kita pandang negatif terhadap apa jua yang berlaku terhadap kita. Kalau tidak berlalu kes video Haziq, adakah akan ada pertemuan seperti ini?

Mungkin Timbalan Presiden tidak kenal staf-staf pejabat yang bekerja kuat di belakang tadbir mengurus parti sekiranya tidak tampil Haziq dengan pendedahan jijik beliau. Ada hikmahnya.

Cuma, saya rasa tidak perlulah Azmin ungkit jasa beliau membela Anwar tahun 1998 dulu. Mengapa perlu cerita peristiwa bersejarah yang satu dunia tahu itu, seolah-olah Azmin anggap semua staf pejabat tidak tahu kisah 1998?

Mereka sebenarnya lebih arif akan sejarah parti, jadi tidak perlu Azmin buang masa bercerita tentang kisahnya membela Anwar dulu. Azmin adalah salah seorang dari jutaan orang yang membela Anwar pada tahun 1998. Adakah itu pelik?

Ezam pun pernah membela Anwar, malah lebih hebat. Ramai lagi yang hebat di dalam membela nasib Anwar. Tetapi tidak ramai yang memandang Anwar apabila mereka sudah mulai merasa senang dan berkedudukan.

Sewaktu Anwar di dalam penjara, tugas menerajui KEADILAN terletak di tangan isterinya Kak Wan, selaku presiden waktu itu. Azmin selaku Timbalan Presiden sepatutnya begitu kuat membantu Kak Wan. Adakah Azmin memainkan peranan yang baik membantu Kak Wan? Berapa banyak arahan Kak Wan dan parti yang dilanggar oleh Azmin? Bahkan, sampai ke peringkat menentukan calon pilihanraya pun beliau dilihat cuba mengambil kuasa dari Kak Wan. Terlalu banyak mahu diceritakan tentang kononnya Azmin ini amat membela Anwar.

Siapa yang mengambil tahu tentang nasib dan kebajikan semua staf pejabat di seluruh negara sewaktu Anwar di dalam penjara? Pernah Azmin tahu kisah ada kakitangan pejabat waktu itu tidak dibayar gaji atau lewat menerima gaji, sedangkan ketika itu Azmin adalah MB Selangor, negeri kaya raya. Pernah mereka ini dihampiri oleh Azmin selaku Timbalan Presiden? Pernah Azmin tahu berapa kerap Kak Wan menangis bersendirian memikirkan masalah parti? Apakah Azmin ingat semua ini kakitangan pejabat tidak tahu?

Saya tiada masalah tentang perjumpaan tersebut, tetapi saya rasa pelik mengapa tiba-tiba Azmin mahu ungkit kisah dia membela Anwar?

Adakah dia rasa Anwar tidak membelanya sekarang? Saya yakin, semua staf pejabat tahu kisah 1998 dan tahu kisah selanjutnya dan mereka arif dan kenal Azmin. Cuma yang mereka mungkin tidak tahu lagi adalah ‘siapa pasangan Haziq?” dan mengapa pasangan Haziq itu tidak menyaman Haziq yang berterusan menfitnahnya?

WFAUZDIN NS

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.