Hasil kajian juruperunding audit bebas bertauliah yang akan dilantik Kementerian Kerja Raya pada Januari 2019 bagi mengurangkan beban bayaran tol akan dibentangkan kepada jemaah menteri pada Mei depan.
Gambar hiasan kaunter tol di lebuh raya.

KUALA LUMPUR – Penerbitan bon RM6.2 bilion tanpa peruntukan kerajaan merupakan penyelesaian ‘menang-menang’ kerana dapat menjimatkan bayaran pampasan RM5.3 bilion untuk membekukan kadar tol di empat lebuh raya.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah mengeluarkan kenyataan yang kerajaan Persekutuan pada 21 Jun lalu telah mengemukakan tawaran bersyarat tertakluk kepada kelulusan jemaah menteri untuk mengambilalih empat lebuh raya – KESAS, LDP, SPRINT dan SMART – dengan kos sebanyak RM6.2 bilion.

“Saya telah menerangkan manfaat-manfaat pengambilalihan termasuk penjimatan bayaran wang pampasan oleh pihak kerajaan berjumlah sekurang-kurangnya RM5.3 bilion serta penjimatan bayaran tol oleh pengguna lebuh raya sehingga RM180 juta setahun.

“Pengguna lebuh raya mendapat manfaat daripada membayar caj kesesakan yang dikurangkan secara ketara daripada kadar tol semasa yang menjimatkan sehingga RM180 juta setahun.

“Kerajaan secara prinsipnya akan memberikan diskaun sehingga 30 peratus pada waktu luar puncak dan kadar percuma pada waktu bukan puncak,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Guan Eng, kos yang dicadangkan untuk pengambilalihan itu iaitu RM6.2 bilion akan dibiayai oleh terbitan bon dan akan dibayar balik sepenuhnya daripada pungutan caj kesesakan.

‘Ini berbanding dengan kos pampasan sebanyak RM18 bilion yang perlu dibayar sekiranya kutipan tol dihentikan di lebuh raya-lebuh raya tersebut.

“Akibat isu-isu yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu yang telah menyebabkan kekangan kewangan, kerajaan Persekutuan tidak mampu membelanjakan RM18 bilion untuk tujuan ini,” katanya.

Persoalan juga telah ditimbulkan tentang mengapa perlunya pengambilalihan konsesi-konsesi dengan nilai RM6.2 bilion diteruskan sedangkan perjanjian akan tamat dalam tempoh sembilan hingga 23 tahun, katanya.

Jelas sekali, menurutnya, kesan serta merta daripada keputusan itu ialah pengguna lebuh raya akan membayar caj kesesakan lebih rendah yang mampu memberi mereka penjimatan sebanyak RM180 juta setahun.

“Kedua, tempoh konsesi tidak akan dilanjutkan tetapi akan tamat seperti yang termeterai dalam perjanjian konsesi sedia ada. Ketiga, setelah perjanjian tamat, caj kesesakan akan dikurangkan lagi bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya sahaja tanpa mengandungi sebarang unsur keuntungan.

“Tawaran bersyarat ini, apabila diluluskan oleh pemegang saham dan pemiutang empat pemegang konsesi lebuh raya tersebut masih tertakluk kepada kelulusan daripada Majlis Jemaah Menteri,” katanya.

“Saya ingin menyatakan sekali lagi bahawa tawaran-tawaran tersebut yang dibuat selepas melalui ketekunan wajar (due diligence) oleh perunding perbankan profesional adalah sejajar dengan usaha memenuhi komitmen kerajaan Pakatan Harapan seperti dinyatakan dalam manifesto pilihanrayanya untuk mengambil alih konsesi lebuh raya dan beransur-ansur mengurangkan kadar tol bagi meringankan beban yang dipikul rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette