ringgitHarga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Saham di Bursa Malaysia turun dalam sesi awal dagangan pagi ini sejajar dengan prestasi saham serantau dan Amerika Syarikat (AS) dalam keadaan kekurangan pemangkin.

Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.22 mata kepada 1,673.39 daripada paras penutup 1,676.61 pada Selasa.

Indeks utama dibuka 2.38 mata lebih rendah kepada 1,674.23.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 121 berbanding 84 dengan 188 kaunter tidak berubah, 1,500 tidak diniagakan dan 23 digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 99.75 juta saham bernilai RM46.22 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata FBM KLCI masih berada dalam aliran meningkat.

“Kami merasakan penurunan itu sudah sepatutnya berlaku selepas kenaikan hampir 100 mata sepanjang bulan lepas.

“Kami mengekalkan pandangan kami bahawa kenaikan telahpun berlaku kerana tidak banyak berlaku perubahan dalam asas korporat Malaysia yang juga membawa kepada peningkatan penilaian,” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota hari ini.

Malacca Securities berkata, perhatian pelabur juga tertumpu kepada mesyuarat akan datang antara Presiden AS Donald Trump dan rakan sejawatannya dari China Xi Jinping di sidang kemuncak G20 di Jepun, untuk melihat sama ada kedua-dua pemimpinan itu boleh memecah sebarang kebuntuan dalam rundingan perdagangan mereka.

Keseluruhannya, pasaran mencatatkan penurunan dalam keadaan kekurangan petunjuk positif meskipun sokongan berterusan institusi dalam saham berkaitan indeks terpilih.

Oleh itu, firma penyelidikan tersebut menjangkakan FBM KLCI akan terus stabil dalam tempoh terdekat dengan sokongan segera pada paras 1,670 -1,672, manakala paras ketahanan pada 1,682-1,689.

S&P 500 turun sebanyak satu peratus semalaman kepada 2,917.38 manakala Dow Jones susut 0.7 peratus kepada 26,548.22 selepas Pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Hayden Powell memberi amaran peningkatan risiko pertumbuhan ekonomi lebih perlahan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun satu sen kepada RM8.92, Public Bank jatuh lapan sen kepada RM22.94, Tenaga berkurangan lapan sen kepada RM13.92 dan Petronas Chemicals jatuh satu sen kepada RM8.42.

Dalam kalangan saham diniagakan cergas, syarikat perkhidmatan pembuatan elektronik, VS Industry naik empat sen kepada RM1.16, manakala Pegasus dan Iskandar Waterfront tidak berubah masing-masing pada satu sen dan RM1.08.

Indeks FBM Emas turun 17.97 mata kepada 11,789.25, Indeks FBMT 100 susut 17.77 mata kepada 11,644.43 manakala Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 15.48 mata kepada 12,148.09.

FBM 70 jatuh 3.31 mata kepada 14,632.12 manakala FBM Ace susut 2.48 mata kepada 4,389.53.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 26.75 mata kepada 16,680.18, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.14 mata kepada 160.89 dan Indeks Perladangan berkurangan 5.33 mata kepada 6,970.93. – MalaysiaGazette