Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador (tengah) diiringi Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor (tiga kanan) menyaksikan Pengerusi KPDRM, Datuk Seri Ayub Yaakob (dua kiri) menerima cek dividen KOP Mantap Berhad dari Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KOP Mantap Berhad, Datuk Iskandar Abdul Malik (dua kanan) pada Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan ke 84 Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (KPDRM) di Hotel International, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 26 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Polis sedia memberi penjelasan kepada kumpulan Center to Combat Corruption and Cronyism (C4) yang bimbang penglibatan polis dalam perniagaan di luar tugas kepolisan sebagai satu konflik kepentingan.

Malah, polis juga menafikan dakwaan C4 aktiviti perniagaan itu boleh membawa kepada penyalahgunaan kuasa dan unsur rasuah.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor meminta C4 tampil berjumpa PDRM supaya mereka boleh diberikan penjelasan yang terbaik.

“Koperasi kita ditubuhkan mengikut Akta Koperasi Polis 1963 dan dipenuhi banyak subseksyen undang-undang.

“Ia bagi menentukan tidak ada apa-apa perkara yang boleh mengakibatkan isu-isu seperti yang diketengahkan sekarang oleh pihak berkenaan (C4).

“Sekiranya tak faham boleh berjumpa dengan pihak kita.. dan kita akan bagi penjelasan yang lebih jelas..tak perlu hebahkan perkara di luar,” katanya dalam sidang media pagi tadi.

MGF26062019_MESYUARAT AGUNG KPDRM_14
Mazlan Mansor

Beliau hadir ke Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Polis Diraja Malaysia kali ke-84 yang disempurnakan oleh Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador pagi tadi.

Pada 22 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyatakan tidak salah polis terlibat dalam perniagaan melalui koperasi mereka kerana ia sah dari segi undang-undang.

Menurut Muhyiddin, koperasi polis hanya ditubuhkan bagi menjana keuntungan untuk ahli disamping menjaga kebajikan mereka. – MalaysiaGazette