Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador (tengah) diiringi Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor (tiga kanan) menyaksikan Pengerusi KPDRM, Datuk Seri Ayub Yaakob (dua kiri) menerima cek dividen KOP Mantap Berhad dari Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KOP Mantap Berhad, Datuk Iskandar Abdul Malik (dua kanan) pada Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan ke 84 Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (KPDRM) di Hotel International, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 26 JUN 2019

KUALA LUMPUR- Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) disaran membangunkan smeula aset-aset yang sedia ada bagi menyelesaikan masalah pemilikan rumah dalam kalangan anggota polis.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, KPDRM boleh menjalin kerjasama dengan pemaju perumahan di luar untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi anggota keselamatan itu.

“Saya dimaklumkan anak syarikat Kop Mantap Berhad iaitu Kops Construction Sdn.Bhd mempunyai lesen G7 yang mampu melaksanakan kontrak-kontrak yang besar termasuk pembangunan hartanah.

“Ia termasuklah merebut peluang pembangunan projek PDRM khususnya penyelenggaraan dan naik taraf bangunan dan perumahan warga PDRM.

“Rekod menunjukkan koperasi pada masa dahulu pernah menceburi dan berjaya membangunkan hartanah miliknya yang terletak di Batu Caves iaitu Taman Koperasi Polis,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan LPDRM Ke-84 hari ini.

Beliau juga menyarankan KPDRM supaya segera menyelenggara, menambahbaik serta menaiktaraf kemudahan dan bangunan hotel Kuala Lumpur International Hotel (KLIH) miliknya yang banyak mengalami kerosakan supaya kekal bersaing dalam industri perhotelan secara integriti dan menyediakan produk terkini kepada pelanggan.

KPDRM juga katanya, perlu memberi fokus kepada anak syarikatnya, Kop Travel & Travels Sdn.Bhd yang mempunyai pakej umrah terbaik dengan tawaran harga yang berpatutan.

“Saya difahamkan syarikat berkenaan menunggu kelulusan mengendalikan pakej haji yang dijangkakan bermula tahun hadapan.

“Saya ingin menyarankan buat kajian supaya produk yang ditawarkan adalah kompetitif dengan pakej lain di pasaran dari segi harga dan kualiti serta promosi agresif diperlukan untuk menembusi pasaran terbuka di negara ini,” ujarnya.

Abdul Hamid  selaku Yang Di Pertua KPDRM juga mengumumkan pemberian dividen RM6 juta bagi tahun kewangan 2018 iaitu 6.5 peratus atas Modal Yuran dan 7.5 peratus Atas Modal Syer (Saham) (14 peratus terkumpul) menerusi peruntukan RM26.8 juta yang akan dikreditkan dalam akaun gaji dalam jangka masa 14 hari.

Beliau turut memuji kejayaan KPDRM mendaftarkan 102,420 ahli sehingga 30 April lalu yang kini sudah berusia 91 tahun penubuhannya.

“Melihat prestasi kewangan yang dibentangkan sebentar tadi, saya sejujurnya berbangga kerana koperasi mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 26.7 peratus bagi tahun 2018 yang mana keuntungan selepas cukai berjumlah RM62 juta berbanding RM48.9 juta bagi tahun kewangan 2017,” katanya.

Abdul Hamid turut menjelaskan anak syarikat KPDRM aktif mempertingkatkan kapasiti perniagaan masing masing seperti Kop Security Agency Sdn.Bhd yang terlibat dalam industri keselamatan ditadbir pesara polis berpengalaman.

“Syarikat ini merancang menawarkan perkhidmatan dalam sektor keselamatan termasuk latihan kemahiran tinggi sektor keselamatan latihan menembak selain berurusan mendapatkan lesen pembekalan dan perniagaan senjata api dan penyimpanan dan penyelenggaraan senjata api.

“Selain itu kita dalam usaha memindahkan premis Kompleks Kolej UniKop di lokasi Cyberjaya yang dikenalpasti dengan jumlah 2,000 pelajar sedia ada dan mensasarkan penarafan status kepada universiti demi manfaat anak anak anggota serta pegawai polis meneruskan pengajian di situ dengan nilai kebolehpasaran tinggi,” ujarnya.- MalaysiaGazette