Datuk Azih Muda
Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda bercakap kepada media pada Jalinan Kasih Silaturrahim Aidilfitri CUEPACS di Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 26 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) mengkaji semula kadar wakalah yang tinggi kepada penjawat awam.

Presidennya, Datuk Azih Muda mendakwa, kadar wakalah sehingga 39 peratus itu bukan sahaja membebankan, bahkan bayaran premium tidak wajar turut dikenakan kepada penjawat awam khususnya jenis perlindungan insurans.

“Caj wakalah 39 peratus itu terpaksa dibayar oleh pembiaya-pembiaya rumah dengan potong gaji sehingga 30 tahun, mereka terpaksa membeli insurans tidak wajar, ada caj di atas tanah gambut dan jerlus, takkan semua tempat tanah jerlus?

“Kita minta LPPSA kaji semula instrumen dalam perlindungan insurans itu supaya peminjam tidak kena bayar premium yang tinggi

“LPPSA jangan ambil kos yang tinggi, harap mereka dapat bersama-sama CUEPACS, kita nak berjumpa dengan mereka, Bank Negara Malaysia (BNM) juga perlu campur tangan agar soal wakalah ini diturunkan (kadar).

“Ini kerana 15 peratus komisen diambil oleh LPPSA, 20 peratus lagi diambil oleh insurans, jadi apa yang dapat kepada penjawat awam.

“Kita akhirnya kena bayar tinggi, kita yang merana bebannya, orang lain bergembira,” katanya pada sidang media pada Majlsi Jalinan Kasih Silaturrahim Aidilfitri CUEPACS di Pusat Konvensyen CIDB, di sini, hari ini.

Datuk Azih Muda
Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda bergambar kenangan bersama kakitangan CUEPACS yang hadir pada Jalinan Kasih Silaturrahim Aidilfitri CUEPACS di Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 26 JUN 2019

Semalam, CUEPACS melaksanakan kongres badan itu antara lain menyentuh isu kos sara hidup penjawat awam khususnya golongan muda yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan.

Turut dibangkitkan dalam Kongres CUEPACS ialah isu pemilikan kediaman oleh penjawat awam dalam kalangan muda di mana harga rumah mampu milik terlalu tinggi iaitu RM300,000 ke bawah berbanding pendapatan mereka.

Azih juga berkata, pihaknya menggesa kerajaan mengkaji semula cadangan untuk harga rumah mampu milik yang kini ditetapkan pada kadar RM300,000 ke bawah.

“Harga rumah yang ditentukan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terlalu tinggi, mereka letak RM300,000 ke bawah bagi rumah mampu milik.

“Rumah harga RM300,000 ini untuk orang yang gaji RM5,000 baru boleh beli rumah ini. Sepatutnya rumah mampu milik ini harganya RM250,000 ke bawah sahaja bukan RM300,000.

“Kita tak nak ikut cadangan daripada pemaju, mereka yang membangunkan rumah, memanglah mereka nak jual mahal. Kerajaan perlu ada satu dasar yang membantu rakyat, penjawat awam, menyekat dan mengekalkan apa yang disebut harga berpatutan, mampu dibeli,” katanya.

Azih turut mendedahkan, setakat ini hampir 95 peratus penjawat awam yang berusia 30 tahun dan 45 tahun ke bawah masih tidak memiliki rumah akibat daripada pengenalan kadar wakalah terlalu tinggi itu.

“Mereka nak beli rumah selepas umur 40 tahun, anak sudah besar, anak nak bersekolah lagi, kalau isteri bekerja kena hantar nurseri lagi yang mahal.

“Semua aspek kita perlu ambil kira untuk menentukan baki pendapatan itu cukup untuk kehidupan yang lebih mampan,” katanya.

Katanya lagi, kebanyakan daripada 1.6 juta penjawat awam di negara ini akan memilih LPPSA untuk membuat pinjaman perumahan kerana badan itu menawarkan kadar pinjaman sehingga 35 tahun.

“Ada (penjawat awam) yang pinjam dengan koperasi dan bank. Tapi kebanyakan mereka pinjam dengan LPPSA kerana tempoh pinjaman lebih panjang hingga 35 tahun dan potongan gaji sehingga 80 peratus.

“Baki 20 peratus, apa nak makan, sebab itu kami sebut soal insurans, kalau tinggi baki gaji lagi teruk, ini keadaan kami sebenarnya,” katanya.

Sehingga kini, Azih mendakwa jumlah pinjaman perumahan yang ditanggung oleh penjawat awam mencecah RM800 juga, yang  mana sebahagian besarnya adalah daripada LPPSA.

“Kami jangka 55 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam telah membuat pinjamam perumahan dengan LPPSA.

Katanya lagi, pihaknya juga akan menghantar surat kepada BNM dalam masa terdekat bagi menyuarakan bantahan terhadap kadar wakalah LPPSA dan kos sara hidup tinggi yang ditanggung penjawat awam ketika ini.

“Kami akan utus surat kepada BNM yang berkaitan dengan caj-caj perumahan ini berkaitan dengan kos-kos sara hidup kerana kami fikir perlu BNM kerana angka yang ditunjukkan oleh BNM, angka yang dikira CUEPACS dan KWSP tak jauh bezanya.

“Kita nak lihat sama ada kita nak berbangga dengan angka ini atau apakah cara kita untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penjawat awam jauh dan dekat pesara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.