Menara kediaman mewah Walker Tower, di Manhattan. foto Agensi

LOS ANGELES- Sebuah penthouse bernilai AS$51 juta (RM210.59 juta) yang didakwa dibeli menggunakan wang 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) akan dijual.

Pendakwa raya dan peguam-peguam Amerika Syarikat (AS) yang mewakili pemegang amanah yang memiliki hartanah berkenaan telah membuat permohonan sivil kepada hakim Los Angeles untuk melucutkan hak penthouse yang terletak di Walker Tower, Manhattan itu supaya ia boleh dijual.

Jabatan Kehakiman AS mendakwa penthouse tersebut dibeli oleh bekas Pengarah Urusan International Petroleum Investment Co, Khadem Abdulla al-Qubaisi dibeli pada 2014.

Menurut Wall Street Journal, Al Qubaisi baru-baru ini dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun di Abu Dhabi.

Beliau dan sekutu-sekutunya turut diarahkan untuk membayar AS$336 juta.

Al Qubaisi yang juga bekas pengerusi pengendali restoran dan kelab malam, Hakkasan Group menerima wang berjumlah AS$473 juta yang dicuri daripada 1MDB pada 2012, demikian menurut Jabatan Kehakiman.

Beliau dibantu oleh Jho Low yang didakwa sebagai perancang utama skim penipuan yang berjaya mencuri berbilion dolar daripada 1MDB.

Selain penthouse berkenaan, Al Qubaisi juga didakwa membeli sebuah rumah agam bernilai AS$31 juta di Beverly Hills, California dengan menggunakan wang 1MDB.- MalaysiaGazette