Datuk Amiruddin Hamzah
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah. foto IQBAL BASRI, 26 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan memberi jaminan sebarang caj pengurusan atau wakalah bagi pinjaman perumahan yang dikenakan oleh institusi kewangan termasuk bank tempatan tidak akan membebankan rakyat.

Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Amiruddin Hamzah bagaimanapun berkata, pihaknya perlu mendapat maklumat yang tepat daripada pihak berkaitan sekiranya ada peminjam dikenakan caj pengurusan yang tinggi.

“Apa juga perkara yang kita nak laksanakan, jangan sampai ia memberi satu beban kepada rakyat terutamanya LPPSA ini. Kita bercakap tentang penjawat awam yang ingin membuat pinjaman perumahan atau pinjaman ubah suai rumah.

“Jangan ianya membebankan, semua pihak berkepentingan perlu berbincang sebelum pelaksanaan dibuat.

“Sebenarnya saya perlu dapatkan maklumat ini daripada LPPSA perkara yang dibangkitkan dan kemudian dapatkan isu ini daripada CUEPACS sebelum satu tindakan dapat dilaksanakan,” katanya pada sidang media ketika menghadiri Majlis Jalinan Kasih Silaturrahim Aidilfitri CUEPACS di Pusat Konvensyen CIDB, di sini, hari ini.

Datuk Amiruddin Hamzah
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah bercakap kepada media pada Jalinan Kasih Silaturrahim Aidilfitri CUEPACS di Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 26 JUN 2019

Beliau mengulas kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda hari ini yang menggesa Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) mengkaji semula kadar wakalah yang tinggi kepada penjawat awam.

Azih Muda mendakwa, kadar wakalah sehingga 39 peratus itu membebankan kerana penjawat awam dibebani dengan bayaran premium tidak wajar termasuk perlindungan insurans yang tidak jelas. – MalaysiaGazette