Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor. foto FAREEZ FADZIL, 26 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Siasatan kes kematian Teoh Beng Hock yang diletakkan di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan iaitu penahanan secara salah adalah keputusan Peguam Negara, Tommy Thomas.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata, beliau tidak perlu memberikan komen lanjut berkenaan perkara itu memandangkan ia adalah keputusan pihak pendakwa raya.

“Lebih elok soalan ini ditujukan kepada pihak pendakwa raya (Peguam Negara).

“Saya tidak boleh komen lebih daripada itu,” kata beliau dalam sidang media selepas Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador Menyempurnakan Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan Koperasi Polis Diraja Malaysia ke-84 di ibu negara.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai kumpulan yang menuntut keadilan bagi kematian Teoh Beng Hock hari ini menggesa penjelasan peguam negara berhubung pengklasifikasian semula siasatan polis berhubung kes berkenaan.

Pengerusi Teoh Beng Hock Trust For Democracy, Ng Geok Chee berkata, mereka difahamkan bahawa polis membuka semula siasatan kematian Teoh di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan bagi penahanan secara salah.

“Ini bertentangan dengan cadangan Teoh Beng Hock Trust for Democracy dan Persatuan Peguam Malaysia bahawa pegawai SPRM terlibat perlu dihukum di bawah Seksyen 304 (Kanun Keseksaan) kerana membunuh secara beramai-ramai apabila disabitkan mereka akan dipenjara 30 tahun, dan denda tanpa had,” dakwanya.- MalaysiaGazette