Azam Baki
Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menolak dakwaan terdapat kes rasuah melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata,  ia ekoran tidak wujud transaksi sedemikian malah akaun yang ditularkan juga tidak wujud sama sekali.

“Akaun dan transaksi itu tidak wujud.

“Satu lagi akaun bank yang dikatakan dibuka pada 2012 juga tidak wujud,” katanya ketika ditanya siasatan SPRM ke atas dakwaan RM3 juta yang dipindahkan ke akaun bank luar negara seorang menteri kanan.

Azam juga berkata dakwaan sebuah syarikat kejuruteraan pernah memindahkan AS$741,440 (kira-kira RM3.1 juta) ke satu akaun bank milik seorang menteri juga tidak dikesan.

Malah perkara sama turut pernah dimaklumkan sendiri oleh UEM Group Berhad (UEM Group) dan Maybank sebelum ini.

“Malah dakwaan mengenai kewujudan satu akaun pada 2012 juga kami turut siasat dan mendapati ia tidak wujud,” katanya lagi.

Pada 11 Jun lalu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam membuat laporan kepada SPRM berhubung pemindahan kira-kira RM3 juta daripada sebuah syarikat kejuruteraan terkemuka tempatan ke akaun bank seorang menteri kanan pada 19 Disember 2017, selepas beberapa tangkap layar berhubung transaksi itu mula tersebar di media sosial. -MalaysiaGazette