Dr. Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak bercadang menangguhkan pemilihan parti yang perlu diadakan menjelang September ini seperti ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pemilihan itu perlu diadakan lebih awal kerana jika berlaku penangguhan ia hanya akan menjejaskan perkembangan Bersatu.

“Tak tangguh (pemilihan). Kita (Bersatu) berpendapat, amat penting untuk kita mengadakan pemilihan lebih awal kerana didapati pentadbiran sekarang ini berasaskan kepada pemimpin yang dilantik,” katanya.

Beliau yang juga perdana menteri berkata, orang yang dilantik untuk menjalankan urusan parti kadang-kadang gagal mengembangkan Bersatu.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah laman portal hari ini yang melaporkan pemilihan Bersatu akan ditangguhkan.

Alasan penangguhan itu, kata sumber yang dipetik dalam laporan berkenaan, ia sebagai langkah bagi memastikan semua cawangan Bersatu dapat didaftarkan secara sah untuk mengelakkan berdepan dengan tindakan ROS.

Dr Mahathir ditemui pemberita selepas melancarkan Dasar Pembangunan Luar Bandar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun dan timbalannya, Sivarasa Rasiah.

Sementara itu, Dr Mahahtir mempertahankan pelantikan enam ahli pasukan petugas khas bagi menyiasat penemuan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang mendakwa Cawangan Khas Bukit Aman terbabit dalam kehilangan paksa Pastor Raymond Koh dan aktivis, Amri Che Mat.

“Kita tidak boleh memuaskan hati semua pihak, ada yang gembira dan ada yang tidak. Saya tidak boleh jamin kepuasan 100 peratus,” ujarnya.

Ditanya sekiranya beliau mempunyai sebarang masalah dengan pasukan petugas khas itu, perdana menteri berkata, beliau akan meneliti aduan mengenainya.

“Kita akan tanganinya dan memperbaikinya,” tambah beliau.

Semalam, kerajaan mengumumkan pelantikan bekas hakim Mahkamah Tinggi, Abd Rahim Uda untuk mengetuai pasukan petugas khas itu.

Ahli lain ialah bekas ketua Bahagian Perundangan PDRM, Mohktar Mohd Noor, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Zamri Yahya, Pengarah Bahagian Operasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Muhammad Bukhari Ab Hamid, pegawai undang-undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Mohd Sophian Zakaria dan setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis, Mohd Russaini Idrus.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, majoriti ahli pasukan petugas khas itu ialah pegawai polis, tetapi mereka tiada kaitan dengan Cawangan Khas yang didakwa terbabit dalam kehilangan Amri dan Koh.

Koh dilapor diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017, sementara Amri yang merupakan pengasas persatuan kebajikan, Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016, selepas keluar dari rumahnya di Kangar.

Koh didakwa menyebarkan agama Kristian kepada umat Islam, dakwaan yang dinafikan keluarganya, manakala Amri dilaporkan cenderung kepada ajaran Syiah ang dilabelkan sesat oleh pihak berkuasa agama tempatan. – MalaysiaGazette