Foto Instgram Fizo Omar

KUALA LUMPUR – Pelakon Fizo Omar akhirnya membuka mulut bagi menjelaskan keadaan rumah tangga bersama isteri, Mawar Abdul Karim yang menjadi bualan umum sejak minggu lalu.

Fizo mengakui rumah tangganya kini berdepan masalah namun dia dan Mawar akan terus mengekalkan hubungan baik demi anak mereka, Wan Maryam yang baru berusia dua tahun.

“Apa-apa pun keputusan mahkamah nanti saya terima. Saya memohon maaf dan juga memaafkan semua pihak.

“Walau apa yang berlaku sekalipun, InsyaAllah hubungan saya dan mawar akan terus baik demi membesarkan dan mendidik Wan Maryam, zuriat daripada Allah yang kami nantikan

“Apa jua yang terjadi Mawar tetap ibu kepada anak kami,” tulisnya di Instagram miliknya hari ini.

Fizo sebelum ini mengakui terkejut apabila dimaklumkan isterinya sudah mendapatkan nasihat daripada peguam mengenai masalah rumah tangga mereka.

Selain itu kata Fizo, 34, setiap pasangan yang berkahwin menyimpan impian untuk menjalani kehidupan bahagia buat selama-lamanya.

“Sesiapa sahaja yang mendirikan rumah tangga pasti mempunyai impian untuk hidup bahagia dan mempertahankan rumah tangga hingga ke jannah.

“Tapi apabila sampai waktunya, kita dipilih oleh Allah untuk diuji. Ia bermaksud kita mampu untuk menghadapinya dan percayalah Allah tidak pernah zalim kepada hamba-NYA,” katanya.

Mawar, 30, sebelum ini memberitahu dia sudah menemui peguam untuk mendapatkan nasihat berhubung masalah rumah tangga mereka.

Perkahwinan pasangan itu mula dikatakan berdepan dengan masalah dan menjadi bualan hangat netizen apabila Fizo menyambut Aidiltri berasingan dengan isteri dan anak.

Fizo dan Mawar mendirikan rumah tangga pada November 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Wan Maryam yang berusia dua tahun. – MalaysiaGazette