Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap kepada media pada Majlis Konsultasi Belanjawan 2020 di Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng secara terbuka membela tiga bekas pemimpin UMNO dengan menafikan mereka menerima sebarang dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Malah, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menempelek desakan parti Gerakan agar kerajaan berusaha terlebih dahulu mendapatkan wang yang mengalir keluar daripada bekas pemimpin yang kini pemimpin kanan dalam Pakatan Harapan (PH).

Antara pemimpin itu termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelas Guan Eng, cadangan itu bukan sahaja tidak masuk ‘akal’, sebaliknya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mula menyiasat dan mendapati  akuan peribadi pemimpin terbabit tidak terlibat.

“Saya juga tidak faham apa yang hendak Gerakan cuba sampaikan? Saya pun tidak tahu kenapa hendak minta duit kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Mereka ada terima wang? Adakah masuk akaun peribadi mereka atau tidak?

“Kerana itu juga kadang-kadang saranan sebegini saya tidak mahu jawab. Cadangan seperti ini langsung tidak masuk akal pun. Wang tidak masuk dalam akuan peribadi mereka jadi mengapa mahu tuju kepada mereka? Ini tidak masuk akal jadi bagaimana hendak jawab,” soalnya.

Guan Eng mengulas desakan Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau yang mahu beliau memulakan siasatan terhadap Mukhriz, Muhyiddin dan Shafie bagi mendapatkan semula wang-wang yang mengalir keluar daripada salah guna kes 1MDB.

Pada masa sama, Guan Eng menyoal kewajaran desakan itu walhal Gerakan tidak pula bertanyakan tentang aliran wang masuk keluar ke dalam akuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya hendak tahu yang masuk ke dalam akuan Najib mengapa mereka tidak minta? Yang tidak masuk itu yang perlu tuntut. Ini masuk akal atau tidak? Saya minta maaf tetapi saya tidak mahu layan persoalan seperti ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.