Hee Loy Sian
Hee Loy Sian

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mengarahkan kilang memproses sawit mentah di Semenyih menghentikan operasi untuk sementara waktu bagi membendung pencemaran bau yang melanda kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian berkata, arahan itu dibuat berikutan kawasan berkenaan berdepan dengan pencemaran bau yang tinggi sehingga 7 tan sejak jam 3.20 petang semalam.

“Saya telah dimaklumkan berlaku pencemaran bau yang tinggi di Sungai Semenyih yang mencapai sehingga 7 tan pada jam 3.20 petang semalam, dan sehubungan itu juga Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih telah dihentikan tugas pada jam 5 petang.

“Berdasarkan siasatan, punca bau telah dikenalpasti dari sebuah kilang memproses minyak sawit mentah kepada minyak sawit bersih di sekitar kawasan Semenyih.

“Keajaan negeri telah mengarahkan kilang terlibat menghentikan operasi dan pelepasan bagi membendung pencemaran daripada menjadi lebih buruk,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Loy Sian berkata, langkah pembendungan mengunakan activated carbon (AC) juga dilakukan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan pensampelan dijalankan di lokasi yang ditetapkan antara titik pelepasan kilang berkenaan sehingga ke Sungai Rinching sejauh 450 meter yang mengalir ke Sungai Semenyih.

Sehingga jam 6 pagi tadi, kata beliau, kesan bau telah menurun sehingga 0 tan dan LRA Sungai Semenyih telah beroperasi semula secara berperingkat.

Jabatan berkenaan sedang meneliti tindakan berkaitan yang boleh diambil berdasarkan Enakmen LUAS 1999 terhadap pelaku seperti perintah di bawah Seksyen 121(1) yang mana boleh dikeluarkan kepada kilang supaya menghentikan operasi kerja bagi tujuan melindungi alam sekitar, kesihatan dan keselamatan awam. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.