Gambar Hiasan. foto AFFAN FAUZI, 25 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang dihenti operasi susulan insiden pencemaran bau pada sumber air mentah sejak petang semalam beroperasi sepenuhnya jam 6 pagi ini.

Menurut Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), proses penyaluran air ke sistem agihan dan kolam-kolam perkhidmatan di kawasan terjejas sedang dilakukan.

“Bantuan lori-lori tangki air terus digerakkan dan 12 Pusat Khidmat Setempat (PKS) diaktifkan bagi menyalurkan bantuan kepada pengguna yang terjejas hingga bekalan pulih sepenuhnya,” menurutnya dalam kenyataan.

Sebanyak 512 kawasan membabitkan 377,141 pelanggan di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terjejas dengan gangguan bekalan air dan tekanan rendah daripada insiden tersebut.

LRA Sungai Semenyih dihenti tugas sejak jam 5 petang semalam susulan pencemaran bau di Sungai Semenyih. – MalaysiaGazette