Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berucap pada Majlis Konsultasi Belanjawan 2020 di Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JUN 2019

PUTRAJAYA – Ketika bergelar pembangkang, Lim Guan Eng pernah melahirkan kegusaran serta membayangkan negara mungkin akan bankrap, lebih-lebih lagi dengan hutang negara yang banyak berikutan skandal 1MDB, namun kini nada beliau sudah bertukar.

Malah Menteri Kewangan itu yakin Malaysia tidak akan bankrap melalui pinjaman yang dilakukan kerana kini negara diuruskan dengan baik serta efisyen.

Dakwa beliau, walaupun kerajaan kini terpaksa berhadapan dengan bebanan hutang sebanyak RM150 bilion kerana penyewelengan 1MDB selain daripada skandal rasuah lain namun pada masa yang sama negara masih mampu mengimbanginya.

“Bayangkan, ketika ini kita sudah kerugian sebanyak RM52 bilion hanya kepada 1MDB sahaja, manakala bagi skandal lain sebanyak RM50 bilion kerugian.

“Sebanyak RM50 bilion lagi berkaitan dengan skandal seperti Tabung Haji dan juga Felda, sememangnya kerajaan ingin berbelanja dengan lebih banyak lagi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi tetapi isu ‘legasi’ 1MDB ini perlu ditangani dulu.

“Tiada satu negara sekalipun mampu hilang RM150 bilion tanpa menjejaskan keadaan fiskalnya. Saya yakin dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang ini, kita akan dapat perbaiki semua ini bagi menyokong ke arah Malaysia yang lebih hebat lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Konsultasi Belanjawan 2020 bertemakan ‘Kemakmuran Bersama: Menjana Pertumbuhan Inklusif Yang Berkualiti ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi’ di Kementerian beliau di sini hari ini.

Lebih 300 buah organisasi dari sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai majlis yang merupakan platform untuk memberi pandangan mengenai belanjawan itu.

MGF270619_KONSULTASI BELANJAWAN07
Sebahagian wakil kerajaan dan agensi hadir pada Majlis Konsultasi Belanjawan 2020 di Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JUN 2019

Pembentangan Belanjawan 2020 dijangka dibentangkan di Parlimen pada 11 Oktober ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bagan itu memberitahu, kerajaan telah berjaya merendahkan nisbah hutang dan liabiliti daripada 79.3 peratus KDNK pada 2017 kepada 75.4 peratus pada tahun lalu.

“Pengurangan ini disumbangkan oleh pengurusan perbelanjaan dan hutang lebih cekap, penjimatan melalui pelbagai projek awam serta pertumbuhan ekonomi lebih sihat,” ujarnya.

Kata Guan Eng, kerajaan juga berjaya memastikan kadar inflasi rendah bagi tempoh tiga bulan lalu iaitu sebanyak 0.2 peratus.

Malah ketika ini jelas beliau,  kerajaan sedang merangka Indeks Kos Sara Hidup yang akan menentukan perbelanjaan minimum diperlukan seorang warganegara bagi kehidupan lebih selesa. –MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.