Susulan video viral kejadian seorang murid dirotan kerana menyindir cikgu lelaki bersifat keperempuanan, sekumpulan pelajar dan bekas pelajar pula menggunakan media sosial membela cikgu mereka.

GELANG PATAH – Susulan video viral kejadian seorang murid dirotan kerana menyindir cikgu lelaki bersifat keperempuanan, sekumpulan pelajar dan bekas pelajar pula menggunakan media sosial  membela cikgu mereka.

Seorang pengguna Internet yang memperkenalkan diri sebagai bekas pelajar cikgu kontroversi itu berkata, cikgu itu pernah menjadi guru kelasnya yang juga mengajar subjek Bahasa Melayu.

Katanya, walaupun penguasaannya dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu kurang baik, manakala cikgu tidak faham bahasa Cina, tetapi beliau cuba memberi penerangan dengan sebaik mungkin.

“Walaupun saya tidak suka mata pelajaran ini, tetapi beliau mengajar saya dengan penuh kesabaran.

“Walaupun saya mengulangi soalan yang sama, tetapi beliau tetap memberi penerangan dengan penuh kesabaran,” tulis bekas pelajar itu dalam bahasa Cina.

Menurutnya, hasil didikan cikgu itu telah membolehkan dia memperoleh keputusan yang baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, cikgu itu juga membawa makanan kepada para pelajar dan akan membenarkan mereka yang kepenatan untuk berehat sejenak sebelum meneruskan pelajaran.

“Kami juga pernah banyak bergurau dengan cikgu, tetapi beliau tidak pernah marah,” katanya dalam Facebook yang seterusnya dipetik China Press.

Menurut bekas pelajar itu lagi, cikgu dalam video tidak bersifat kewanitaan, tetapi cuma mempunyai nada suara yang “lebih tinggi” .

Menurut laporan China Press, terdapat murid yang memberi sokongan kepada cikgu itu dengan salah seorang berkata, “tidak mahu kehilangan cikgu yang baik.”

“Saya pernah diajar cikgu ini, dia bukan jenis yang mudah marah. Kalau pelajar ini tidak keterlaluan, tak mungkin cikgu ini kemarahan sampai merotan,” kata seorang pengguna Facebook.

Dalam pada itu, Sinchew Daily juga memetik hantaran mesej bekas pelajar yang mengutuk tindakan memuat naik video cikgu mereka ke Internet sehingga menyebabkan pendidik itu menjadi sasaran kritikan.

Terdapat pelajar dilaporkan memberitahu bahawa dia tidak pernah dirotan atau dimarahi cikgu itu walaupun mendapat keputusan Bahasa Melayu yang tidak memuaskan.

“Layanan cikgu terhadap pelajar memang sangat baik sampai tahap tidak boleh berkata apa-apa,” katanya.

Dalam video yang viral baru-baru ini, seorang wanita dipercayai sebagai ibu telah bersemuka dengan seorang cikgu lelaki.

Video itu menunjukkan kesan rotan pada bahagian tangan dan paha seorang pelajar perempuan.

Wanita dipercayai ibu kedengaran mempertikaikan tindakan cikgu itu merotan pelajar perempuan, sementara cikgu lelaki cuba memberi penjelasan.

Seorang lagi wanita dipercayai juga seorang cikgu pula bertutur dalam bahasa Cina meminta si ibu memahami keadaan cikgu lelaki yang menerima sindiran di khalayak pelajar tanpa sebab dan secara tiba-tiba. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.