Kaun etnik Rohingya.

AMSTERDAM – Pendakwaraya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mula mengambil langkah untuk membuka siasatan penuh terhadap dakwaan jenayah yang dilakukan ke atas kaum etnik Rohingya yang diusir dari Myanmar ke Bangladesh

Pendakwaraya, Fatou Bensouda dalam satu kenyataan berkata, beliau akan meminta kelulusan hakim untuk menyiasat ‘sekurang-kurangnya satu elemen’ jenayah di Bangladesh yang merupakan anggota ICC.

Tambah beliau, siasatannya akan meliputi jenayah yang berlaku ‘dalam konteks dua gelombang keganasan di negeri Rakhine dan wilayah’ Myanmar, lapor Reuters.

Dalam kenyataan berasingan, Mahkamah Jenayah Perang berkata, ia telah menugaskan panel yang terdiri daripada tiga hakim untuk mendengar permohonan Bensouda.

Jika permohoinan itu diluluskan, ICC akan menjadi mahkamah antarabangsa pertama membicarakan dakwaan kekejaman ke atas kaum etnik minoriti Muslim Rohingya di Myanmar.

Walaupun Myanmar tidak menganggotai ICC, pada September lalu mahkamah tersebut memutuskan ia mempunyai kuasa terhadap beberapa jenayah di rantau itu kerana Bangladesh adalah anggotanya.

“Mahkamah mempunyai kuasa terhadap jenayah ke atas pengusiran yang didakwa dilakukan terhadap kaum Rohingya,” katanya ketika membuat keputusan pada September 2018.

“Alasannya ialah ia adalah elemen jenayah – merentasi sempadan – yang berlaku di sebahagian wilayah negara (Bangladesh),”.

Pada keesokan hari, kerajaan Myanmar berkata, negara itu menolak bidang kuasa mahkamah tersebut.

Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mencari fakta pada Ogos lalu membuat kesimpulan bahawa tentera Myanmar melakukan pembunuhan beramai ramai selain merogol secara berkumpulan kaum etnik Muslim Rohingya.

Pejabat Bensouda memulakan pemeriksaan pra siasatan kes Bangladesh-Myanmar pada tahun lalu dan satu delegasi mahkamah telah melawat Bangladesh pada Mac lalu.

ICC yang disokong PBB dengan keanggotaan 122 ahli, merupakan langkah terakhir untuk membawa sesuatu kes ke muka pengadilan, hanya campur tangan apabila negara anggota didapati tidak bersedia atau tidak mampu mendakwa jenayah perang yang berlaku dalam wilayah mereka, atau apabila sesuatu kes dirujuk kepada Majlis Keselamatan PBB.

Namun ia jarang berlaku kerana Amerika Syarikat, Rusia dan China bukan anggiota ICC dan negara tersebut boleh menggunakan kuasa veto untuk menghalang daripada dirujuk, seperti apa yang Rusia lakukan terhadap Syria. – Agensi