Herold Goulon

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mencalonkan jaringan pemain pertahanan import Pahang, Herold Goulon, untuk Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, badan induk bola sepak negara itu bersetuju untuk menghantar pencalonan berkenaan selepas mendapat sokongan Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

“Pahang sudah meluluskan kepada FAM untuk mengemukakan gol tersebut kepada FIFA, dan FAM akan hantar surat pencalonan serta video jaringan tersebut kepada Fifa hari ini,” katanya memetik laporan Bernama selepas sidang media program Asian Eleven di Wisma FAM Kelana Jaya di sini semalam.

Dalam pada itu, Stuart menegaskan, FAM tidak melihat status kewarganegaraan Goulon yang berasal dari Perancis sebagai alasan untuk tidak mencalonkan gol pemain berkenaan untuk Anugerah Puskas.

Mengambil contoh penyerang antarabangsa Brazil, Neymar, bekas kelab pemain berkenaan, Barcelona pernah mencalonkan jaringan pemain itu untuk anugerah tersebut sebelum ini.

Goulon, 31, mencipta jaringan menarik dengan melakukan sepakan percuma melebihi jarak 50 meter yang melepasi jangkauan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy. – MalaysiaGazette