Ahmad Zahid Hamidi.

SHAH ALAM – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas pertuduhan menerima suapan berjumlah kira-kira RM42 juta berkaitan Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Beliau yang hadir di mahkamah pada jam 8.30 pagi melalui pintu belakang menghadapi 33 pertuduhan, masing-masing di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima suapan dalam pelbagai mata wang.

Sebaik semua pertuduhan iaitu 26 pertuduhan bawah Akta SPRM dan tujuh pertuduhan bawah Kanun Keseksaan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh, Ahmad Zahid dengan tenang mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan itu.

Dua jurubahasa mahkamah mengambil masa kira-kira 35 minit untuk membaca semua pertuduhan kepada Ahmad Zahid yang ketika itu berada di kandang tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 Julai ini untuk sebutan semula kes dan mengenakan ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin.

Turut kelihatan anak perempuannya, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff.

Semalam, Presiden UMNO itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan menerima suapan membabitkan $S4.24 juta daripada sebuah syarikat pengendali perkhidmatan pusat sehenti di China dan Sistem VLN dua tahun lalu.

Ahmad Zahid didakwa kerana menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima wang sogokan bagi kegunaan peribadi daripada syarikat swasta yang diberi hak eksklusif mengendalikan kemasukan pelancong China ke negara ini. – MalaysiaGazette