Datuk Seri Azmin Ali
Datuk Seri Azmin Ali. foto FAREEZ FADZIL, 18 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang diseret dalam dakwaan video lucah sebelum ini melahirkan rasa syukurnya, hari ini.

Azmin yang juga merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dilihat memuat naik satu status di Twitternya sebentar tadi.

“Alhamdulillah syukur,” katanya ringkas.

Ahli Parlimen Gombak itu dipercayai memuatnaik status berkenaan beberapa jam selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan kenyataan yang membersihkan nama beliau.

Kenyataan satu muka surat itu rata-rata menafikan dakwaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Adam bahawa ada transaksi meragukan oleh sebuah syarikat pembinaan ke akaun peribadi Azmin Ali.

Malah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, turut menafikan kewujudan sebuah akaun di luar negara pada 2012 milik menteri berkenaan.

SPRM hari ini membersihkan nama Azmin dengan berkata, tuduhan menyembunyikan RM300 juta di luar negara tidak benar sama sekali.

Beliau merujuk surat layang ditulis seseorang yang menggunakan nama “Toyol of Selangor” dengan mendakwa Azmin memiliki wang bernilai ratusan juta dalam pelbagai mata wang dan disimpan dalam 54 akaun bank di Malaysia, Indonesia, Singapura, Dubai, Hong Kong, India, Shanghai, Abu Dhabi, Australia, Zurich dan Amerika Syarikat.

Baru-baru ini, tersebar dakwaan bahawa deposit AS$741,000 yang dicatatkan dari akaun Maybank milik UEM Group ke akaun Deutsche Bank Azmin di luar negara.

Dakwaan itu tersebar dengan empat video lucah yang dikaitkan dengan dirinya pada 12 Jun lalu. -MalaysiaGazette

SPRM bersihkan nama Azmin Ali