Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof. foto FAREEZ FADZIL, 13 MEI 2019.
Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof. foto FAREEZ FADZIL, 13 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md Yusof mendedahkan ada pihak daripada persatuan koperasi yang berminat untuk mengambil alih pengurusan Malaysia Airlines (MAS).

Katanya, beliau didatangi seorang usahawan daripada persatuan koperasi yang mengatakan minat mereka untuk berbuat demikian.

“Saya tak mencadangkan koperasi (untuk ambil alih MAS), tapi kalau kita lihat pemikiran dalam koperasi itu merangkumi semua bidang. Kita nak tengok kalau gerakan koperasi ini mempunyai kepakaran dan kemampuan, tidak menjadi masalah.

“Tapi kena lebih realistik dan berhala tuju dalam memahami risiko dalam industri itu sendiri. Sebab kerajaan tidak akan terus melaburkan wang rakyat untuk menampung operasi MAS,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Kopetro Tahunan ke 36, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Redzuan dalam pada itu berkata, kerajaan perlu mencari jalan bagi merencanakan kaedah baharu bagi menyelamatkan penerbangan kebanggaan negara itu.

“Hari ini MAS terpaksa bersaing dengan syarikat kos rendah. Jadi kena ambil pendekatan sama rata samada kita nak lebih kepada industri kos rendah ataupun penerbangan negara.

“Kalau kita buat penerbangan kos rendah, kita tidak boleh mengembangkan ke destinasi yang lebih berdaya saing.

“Kita ada pengurangan dari segi destinasi terus daripada MAS.

“Kerajaan perlu lihat apakah peraturan yang kita kena timbal balik dan kita laksanakan bagi memastikan penerbangan negara beri penjanaan keuntungan dan terus berkembang,” katanya lagi.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia bersedia pertimbangkan untuk menjual MAS sekiranya terdapat tawaran baik untuk syarikat itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan perlu terlebih dahulu memastikan pembeli berpotensi itu mampu menguruskan syarikat penerbangan itu dengan baik.

“Kami (kerajaan) telah banyak kali tukar pucuk pimpinan mereka (Malaysian Airlines), setiap kali kami berharap mereka akan berbuat sesuatu untuk memulihkan syarikat tetapi mereka gagal… (jadi) kini kami mahu menjualnya, tetapi jika kami menjual (ia) kepada pihak yang akan gagal sekali lagi, ia tidak berbaloi.

“Kami perlu berhati-hati dalam memilih pembeli,” kata Dr Mahathir minggu lalu. -MalaysiaGazette