Mohamad Sabu
Presiden PAN yang juga Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bercakap kepada media selepas Majlis Rumah Terbuka Parti Amanah Negara (PAN) di Taman Kejiranan Air Panas, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menegaskan bahawa beliau mempunyai hubungan yang baik dengan pengurusan Malaysia Airlines (MAS).

Menurut Mohamad, beliau sentiasa berbincang bagi meningkatkan mutu dan kualiti perkhidmatan penerbangan nasional itu dan tidak timbul isu tegurannya sebelum menjejaskan hubungan baik itu.

“Itu hanya masalah biasa, saya memang baik dengan MAS, kami berbincang panjang untuk meningkatkan MAS pada masa akan datang.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini bahawa MAS tetap di hatiku,” kata Menteri Pertahanan itu ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Amanah Negara, di Taman Kejiranan Ayer Panas, di sini, hari ini.

Sebelum ini, pejabat Menteri Pertahanan itu dalam satu kenyataan kesal dengan kelewatan pesawat MAS sehingga menyebabkan beliau terlepas temu janji untuk singgah di London bagi bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kejadian berlaku pada 16 Jun lalu ketika perdana menteri sedang mengadakan lawatan kerja di United Kingdom, manakala menteri pertahanan pula dalam perjalanan ke Perancis dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sementara itu, Mohamad juga berkata, meskipun pihaknya dikritik banyak pihak dalam beberapa isu, namun Amanah masih mendapat sokongan daripada rakyat.

“Kita akan dapat sokongan orang Melayu dan sekarang ia sedang semakin meningkat selepas setahun (jadi kerajaan) dan selepas bulan Ramadan kita nampak ada perubahan.

“Kami akan bekerjasama dengan Bersatu untuk meningkatkan sokongan itu lagi kepada Pakatan Harapan (PH),” katanya lagi. – MalaysiaGazette