Sebahagian daripada murid Sekolah Agama Taman Mawar yang sesak nafas di Pasir Gudang, Johor.-pix FB

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan hari ini mengarahkan semua sekolah di Pasir Gudang dibuka semula mulai esok.

Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Johor, Azman Adnan, satu pasukan petugas akan digerakkan ke sekolah-sekolah yang pernah terjejas untuk diberikan sesi latihan keselamatan dan pencegahan pada perhimpunan pagi esok.

“Semua Pengetua dan Guru Besar telah diminta memberitahu segera kepada semua guru guru, murid dan kakitangan sekolah mengenai perkara ini.

“Semua pengetua, guru besar dan guru juga diminta merancang dan menjajarkan semula aktiviti pembelajaran mengikut kesesuaian perancangan sekolah akibat pembelajaran rasmi yang ditangguhkan sepanjang tempoh sekolah ditutup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan gelombang kedua pencemaran udara di daerah itu minggu lalu, tiga sekolah dan dua tadika di kawasan Pasir Gudang ditutup selama dua hari berhubung insiden sesak nafas yang membabitkan 15 orang murid di kawasan itu.

Sehari kemudian, 14 lagi sekolah ditutup sementara susulan tiga lagi sekolah dilanda simptom sesak nafas dan muntah-muntah.

Sekolah terlibat ialah SK Bukit Dahlia, SK Taman Cahaya Masai, SK Felda Cahaya Baru, SK Kong Kong Laut, SK Taman Nusa Damai, SK Kopok, SK Kota Masai 3, SK Taman Cendana.

Selain itu, SMK Taman Nusa Damai, SMK Pasir Gudang, SMK Kota Masai, SJK(T) Pasir Gudang, SK Taman Scientex, SMK Taman Scientex serta dua sekolah ditutup sebelum ini, SK Pasir Gudang 4 dan SMK Pasir Gudang 2.

Sehigga kini, sejumlah 748 pelajar dilaporkan mengalami gejala sesak nafas.

Daripada jumlah itu 709 menerima rawatan pesakit luar dan 39 orang dimasukkan ke dalam wad dan tiada mangsa yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) atau meninggal dunia susulan kejadian tersebut. -MalaysiaGazette