Kapal pengangkut Liaoning

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yakin bahawa kapal induk Tentera Laut China, Liaoning tidak akan melalui selat antara kepulauan Malawali di Filipina dan perairan negara di Pantai Timur Sabah kerana laluan itu sempit dan berisiko.

Panglima TLDM Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany berkata, bagaimanapun, pihaknya tetap dalam keadaan berjaga-jaga terhadap sebarang pencerobohan yang tidak diingini.

“Laut itu luas, jadi saya sudah berhubung dengan kapal-kapal di luar sana supaya berjaga-jaga dan ambil perhatian sepenuhnya. Kalau ada kami akan tahu tetapi setakat ini tidak ada laporan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri TLDM, di sini, hari ini.

Sebelum ini, terdapat laporan media antarabangsa serta gambar satelit yang tular menunjukkan kapal induk itu berada berhampiran Laut China Selatan baru-baru ini, namun disangkal oleh TLDM kerana kekurangan bukti.

Pada Isnin lepas, TLDM mengesahkan tidak menerima laporan kehadiran kapal Liaoning di perairan negara.

Berikutan laporan itu, Panglima Armada Timur telah diarahkan untuk meningkatkan kawalan dan memberikan perhatian sepenuhnya di perairan itu terutamanya melibatkan kapal asing. – Bernama