JOHOR BAHRU – Kejadian gangguan kesihatan di Pasir Gudang terutama dalam kalangan pelajar sekolah sehingga kini belum diketahui puncanya.

Bagaimanapun, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin baru-baru ini memaklumkan tiga jenis gas iaitu akrilonitril, akrolein dan metil merkaptan dikesan di kawasan itu.

Berikutan itu, segelintir penduduk di Pasir Gudang yang ditemui Bernama membangkitkan pelbagai persoalan berhubung kesan sampingan daripada aspek kesihatan dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang jika mereka terdedah kepada bahan itu.

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam Ir Dr Zulkifli Abdul Rashid berkata berdasarkan analisisnya, gas akrilonitril mempunyai sifat karsinogenik yang mampu mengakibatkan kanser jika seseorang terdedah kepada gas itu setiap hari atau terlalu lama.

Ini terbukti daripada kajian saintifik seperti yang dilaporkan dalam pangkalan data Badan Toksikologi untuk Penyakit Toksikologi dan Pendaftaran Badan Toksikologi (ATSDR) untuk akrilonitril, katanya ketika dihubungi Bernama.

“Jika mereka (penduduk) terdedah dengan bau gas ini (akrilonitril) terlalu lama, ia bukan sahaja memudaratkan kesihatan bagi kesan masa pendek, tetapi boleh membahayakan organ dalaman sehingga bertindak balas menghasilkan bentuk kanser untuk kesan masa panjang.

“Keputusan kajian epidemiologi menunjukkan bahawa akrilonitril boleh menjadi karsinogen kepada manusia. Melalui eksperimen pendedahan bahan kimia atau gas itu terhadap tikus makmal mendapati ia boleh mengakibatkan tumor pada tikus, malah beberapa kajian saintifik juga menunjukkan bahan kimia akrilonitril ini juga dikatakan penyebab kanser paru-paru terhadap manusia,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun, kebarangkalian penduduk berisiko menghidap kanser bergantung kepada beberapa faktor antaranya sejarah perubatan mereka sama ada mempunyai asma, faktor umur, durasi dan konsentrasi pendedahan kepada gas itu.

“Selain itu, aspek geografi atau kedudukan penempatan penduduk yang tinggal berdekatan dengan punca pencemaran udara yang berlaku ketika ini lebih berisiko tinggi menghidap kanser dalam masa yang lebih singkat berbanding mereka yang tinggal berjauhan daripada punca pencemaran gas ini,” jelasnya.

Kejadian gangguan kesihatan di kawasan Pasir Gudang sejak 20 Jun lepas adalah kali kedua selepas insiden pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim tiga bulan lepas, yang menyaksikan lebih 4,000 orang jatuh sakit dan 111 sekolah ditutup.

Pada 20 Jun, gelombang kedua dilapor berlaku di Sekolah Agama Taman Mawar yang melibatkan 15 murid mengalami gejala muntah, loya dan sesak nafas dipercayai akibat terhidu udara yang telah tercemar, diikuti 13 murid Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4, pada hari sama.

Hari ini, iaitu hari pertama sesi persekolahan selepas semua sekolah di kawasan itu ditutup sejak 25 Jun sehingga Khamis, beberapa murid dan seorang guru Sekolah Kebangsaan Kopok, Pasir Gudang mengalami sesak nafas dan muntah-muntah sejak awal pagi.

Sementara itu, Zulkifli turut menjangka wujud lima gas toksik termasuk tiga yang telah dikesan setakat ini memandangkan metil merkaptan dan akrilonitril yang bertindak balas dengan unsur air boleh menghasilkan dua jenis gas toksik lain iaitu hidrogen sulfida dan hidrogen sianida yang mengakibatkan bau busuk dan tengik.

Bau ‘misteri’ yang dialami penduduk di sekitar Pasir Gudang kemungkinan kerana terhidu satu daripada dua gas itu, katanya.

Sebelum ini, Bernama melaporkan kebanyakan penduduk di sekitar Pasir Gudang yang terjejas mengadu sentiasa terhidu bau busuk dan tengik selepas cuaca hujan dan pada waktu malam.

Zulkifli menjelaskan bau hidrogen sulfida menusuk hidung seperti bau telur busuk, manakala hidrogen sianida digambarkan sesekali mempunyai bau ´badam pahit´ tetapi tidak semua orang dapat mengesan bau itu.

Kehadiran gas hidrogen sianida dilapor dicatatkan paling tinggi di Taman Tanjung Puteri Resort semasa kejadian pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada 13 Mac lepas.- BERNAMA