Pengarah JSJ Bukit Aman,Komisioner Datuk Huzir Mohamed

KUALA LUMPUR – Polis memberkas empat lelaki dipercayai terlibat dalam aktiviti jenayah termasuk insiden menyimbah cat ke atas rumah seorang aktivis alam sekitar di Kuala Langat, Selangor pada 26 Jun lalu.

Keempat-empat suspek lelaki berusia antara 20 hingga 31 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, mereka ditahan dalam satu serbuan oleh sepasukan polis Unit Pencegahan Gangsterism D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di sebuah kediaman di Damansara Petaling Jaya hari ini.

“Hasil serbuan turut diberkas sebuah kenderaan dipercayai digunakan suspek semasa kejadian, sebilah pedang samurai, seunit telefon bimbit yang disyaki digunakan sebagai merakam aktiviti jenayah tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut polis juga menemui sebungkus dadah jenis Syabu di kediaman itu,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Tambah beliau, hasil soal siasat polis, keempat-empat suspek mengaku terlibat secara langsung dalam kes menyimbah cat ke atas rumah aktivis alam sekitar itu.

Kesemua suspek turut mengaku penglibatan mereka dalam kegiatan kongsi gelap Geng 24 dan menerima upah dari individu tertentu.

“Setiap mereka mempunyai rekod kesalahan lampau di antara satu hingga 10 kes termasuk kes jenayah, dadah dan dalam senarai dikehendaki “wanted’ oleh polis,” katanya.- MalaysiaGazette