Marcus Rashford

LONDON – Marcus Rashford bakal menikmati gaji baharu bersama Manchester United selepas bersetuju menandatangani kontrak empat tahun dengan pilihan untuk sambungan selepas itu.

BBC melaporkan, United sedia untuk menawarkan kontrak mahal bernilai £200,000 (RM1.04 juta) seminggu bagi memastikan Rashford kekal di Old Trafford.

Kontrak pemain berusia 21 tahun itu sebelum ini akan tamat pada 2020 dan penyerang England itu menarik minat pasukan handalan Eropah termasuk Barcelona.

Rashford sudah menjaringkan 45 gol dalam 170 penampilan sejak mula menyertai pasukan utama United pada usia 18 tahun.

“Manchester United menjadi sebahagian dalam hidup saya sejak saya mula tiba di sini pada usia tujuh tahun.

“Kelab ini mengubah kehidupan saya sebagai pemain dan individu serta menjadi satu penghormatan diberi berpeluang memakai jersi ini,” kata Rashford.

Kontrak itu membolehkan Rashford menerima pendapatannya kepada 300,000 pound seminggu, jika pemain tersebut menerima beberapa insentif.

Kejayaan mengikat Rashford dengan perjanjian baharu membolehkan United menarik nafas lega sebelum terbang ke Australia, minggu depan bagi memulakan jelajah pra-musim.

Rashford dilaporkan kembali menyertai latihan pra-musim, minggu ini, selepas diberi cuti rehat tambahan kerana beraksi bersama England dalam Liga Negara-Negara Eropah.

Skuad bimbingan Solskjaer akan terbang ke Perth, Australia, minggu depan di mana mereka akan berdepan Leeds United. – MalaysiaGazette