Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 OKTOBER 2018
Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong

NILAI – Isu berhubung pembelian enam helikopter tentera bernilai RM300 juta pada 2015 yang sehingga kini belum diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong berkata sebarang perkembangan siasatan hanya akan dijawab Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

“Isu ini masih dalam siasatan SPRM, tetapi saya rasa isu ini akan dijawab oleh Menteri Pertahanan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada persidangan ‘Federalisme di Malaysia: Mentakrif Semula Hubungan Persekutuan-Negeri di Malaysia’ di sini, hari ini.

Pada 13 Jun lepas, Kementerian Pertahanan membuat laporan kepada SPRM berhubung pembelian enam helikopter tentera bernilai RM300 juta pada 2015 yang sehingga kini belum diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut sumber Kementerian Pertahanan, laporan itu membabitkan pembelian enam helikopter tempur ringan MD530G keluaran syarikat gergasi aeroangkasa Amerika Syarikat (AS), McDonnel Douglas yang kontraknya diluluskan pada November 2015.

Pada 21 Jun lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki mengesahkan telah menahan dua individu yang dikaitkan dengan pembelian enam helikopter terbabit.

Dua individu itu dikenal pasti sebagai orang yang mendapatkan projek berkenaan.

— BERNAMA