Seorang pengamal perubatan Islam disyaki mencabul seorang wanita yang sedang mendapatkan rawatan.

BATU GAJAH – Gara-gara terpengaruh dengan video yang dilihat melalui telefon bimbit, seorang murid lelaki Tahun Enam merogol seorang kanak-kanak perempuan yang diasuh ibunya di sebuah rumah di Taman Sri Wangsa di sini.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Ahmad Adnan Basri berkata kejadian disedari selepas mangsa yang berumur empat tahun mengadu sakit di bahagian kemaluan kepada ibunya Khamis lalu sebelum dibawa ke Klinik Tanjung Tualang untuk pemeriksaan, pada keesokan hari.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan koyakan pada pelbagai posisi sehingga menyebabkan selaput dara mangsa pecah.

“Doktor menyuruh ibu mangsa membuat laporan polis dan selepas itu berjumpa dengan pengasuh dan suspek yang merupakan anak sulung kepada pengasuh.

“Suspek mengaku melakukan perkara tersebut. Kejadian berlaku sebanyak tiga kali iaitu sejak Mei lalu dan tidak disedari ibu bapa suspek,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Perbuatan itu berlaku dipercayai akibat melihat video lucah di telefon bimbit.

Ahmad Adnan berkata suspek direman bermula hari ini sehingga 5 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol gadis di bawah umur.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa supaya berhati-hati ketika membenarkan anak-anak mereka melayari internet terutama di dalam telefon bimbit kerana ia boleh mendatangkan kesan yang buruk.

— BERNAMA