Tengku Razaleigh Hamzah.

KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dipersoalkan kerana menggunakan perintah tetap (standing order) bagi membawa usul dan memaksa ahli-ahli Parlimen mengisytiharkan harta dan aset.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, walaupun usul berkenaan diluluskan di Dewan Rakyat semalam tetapi ia menerima bantahan kerana tidak puas hati cara kerajaan memaksa wakil rakyat mengisytiharkan aset dan harta.

“Saya sedia mengisytiharkan aset dan harta saya sebab saya sentiasa berbuat demikian aset semasa yang dimiliki dan ketika bukan dalam kabinet juga.

“Bantahan  MP (ahli parlimen) semalam kerana mereka rasa ia bukan cara yang betul..tak boleh guna standing order melalui usul untuk memaksa ahli parlimen isytihar aset.

“Kalau mahu semua MP isytihar aset sebagai peraturan perkenalkan satu undang-undang khas dan mana-mana ahli Parlimen tertakluk untuk isytihar aset,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Justeru Ku Li merasakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diwujudkan bukan sahaja untuk siasat aset dan liabiliti ahli parlimen tetapi juga mereka di sektor perniagaan.

Menurutnya, sektor peniagaan juga melibatkan banyak salahlaku yang memerlukan siasatan dan tindakan tegas.

“Bukan hanya MP, kakitangan awam dan polis..kenapa hanya kumpulan ini sentiasa ditekan, disiasat.

“Populasi kita lebih besar.. kita juga kena siasat dan mereka yang sudah bersara juga kemudian lihat siapa yang bersalah.

“Laporan asing ada melaporkan banyak dana keluar daripada negara ini dan kita kena lihat semua ini dan apa yang boleh kita lakukan,” ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Gua Musang itu juga menjelaskan sebagai wakil rakyat mereka juga mengisytiharkan apa-apa aset yang dimiliki ataupun sebaliknya dan tidak menyembunyikan di belakang pemegang amanah.

“Itu tak betul..mungkin kita khusus kepada ahli pentadbir, dengan peruntukan khas mungkin ada gambaran yang lebih jelas.

“Harta dan aset yang bukan bawah peribadi tetapi diletakkan di bawah penama lain boleh dirampas dengan siasatan,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. orang ugama dia guna ugama untok lawan. orang tak tahu ugama boleh guna apa yang dia tahu seperti undang2. orang yang ada kuasa dia akan guna kuasa. lawan tetap lawan dengan apa cara pun

Comments are closed.