Video mengenai rakaman seekor monyet disembur sehingga berwarna merah dan badannya diikat dengan buah durian telah menjadi viral di laman sosial dengan beberapa portal turut melaporkan penularan video itu.

KUALA LUMPUR – Video mengenai rakaman seekor monyet disembur sehingga berwarna merah dan badannya diikat dengan buah durian telah menjadi viral di laman sosial dengan beberapa portal turut melaporkan penularan video itu.

China Press melaporkan, pemilik kebun yang menangkap monyet itu bertutur dalam dialek Hakka sambil mendenda haiwan yang dipercayai mencuri buah durian itu.

Pekebun itu antaranya mahu supaya si monyet jangan datang lagi membuat kacau di kebun duriannya.

“Tengok, tangan kamu diikat sebiji durian, badan kamu diikat durian, kaki juga diikat durian. Berani lagikah kamu makan durian lain kali?” marah pekebun itu kepada si monyet yang kelihatan berwarna merah.

Namun begitu, pekebun itu akhirnya melepaskan si monyet selepas memberikan pengajaran kepadanya.

“Saya lepaskan kamu sekarang, nanti bagi tahu kawan-kawan kamu supaya jangan datang lagi. Tahu tak? Kalau mahu cari makan, pergi jauh-jauh,” kata pekebun itu dalam rakaman.

Walaupun ramai orang berpendapat pekebun itu bersikap kejam dan mendera si kera itu, tetapi ada juga yang membela tindakannya.

Sesetengah orang mengingatkan dalam media sosial bahawa pekebun itu tidak membunuh haiwan yang ditangkapnya itu.

Ada juga yang berpendapat mewarnakan monyet itu menjadi merah akan menjadi tanda amaran kepada monyet lain yang hidup dalam kelompok sama. – MalaysiaGazette