Zainal Abas

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas mengumumkan perletakan jawatannya berkuatkuasa semalam selepas tiga tahun berbakti.

Jelas beliau, keputusan tersebut dibuat bagi membolehkannya memberi sepenuh tumpuan dan komitmen kepada jawatan hakiki selaku Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Datuk S.M. Muthu atas perlantikan selaku Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang baharu.

“Ucapan terima kasih juga saya ucapkan kepada KOM atas kepercayaan yang diberikan kepada saya selama lebih tiga tahun untuk menyandang jawatan Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan.

“Sepanjang lebih tiga tahun saya menjawat jawatan ketua jurulatih kebangsaan, saya cukup berbangga dengan kejayaan atlet kita yang telah berjaya memperbaharui catatan rekod kebangsaan sebanyak 37 kali dengan melibatkan 17 acara olahraga yang berbeza.

“Tambah manis, tiga rekod Sukan SEA turut berjaya diperbaharui, dan satu disamai oleh empat orang atlet di temaysa dwi tahunan itu pada edisi lalu, sekaligus mengembalikan maruah olahraga di persada Asia Tenggara,” kata Zainal dalam satu surat rasmi di sini hari ini.

Beliau menambah, kecemerlangan atlet diteruskan pada Sukan Komonwel 2018 Gold Coast yang mana Zaidatul Husniah Zulkefli menjadi atlet wanita kedua dalam sejarah olahraga Malaysia layak ke separuh akhir Sukan Komonwel selepas G. Shanti pada 1998.

Katanya, Zaidatul turut cemerlang pada Sukan Asia 2018, yang mana dia menjadi atlet wanita kedua dalam sejarah olahraga Malaysia layak ke acara akhir 100 meter Sukan Asia, selepas G. Shanti, juga pada 1998.

“Selain itu kuatet 4x100m lelaki turut menyerlah di Gold Coast, Australia apabila mencipta sejarah menjadi kuatet 4x100m lelaki pertama negara yang berjaya layak ke acara akhir 4x100m di Sukan Komonwel.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua atlet yang telah menunjukkan kesungguhan dan kecekalan dalam mengapai impian mereka. Teruskan usaha anda dan saya pasti kejayaan yang diimpikan akan menjadi kenyataan.

Dalam masa sama, Zainal turut mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan jurulatih yang telah banyak memberikan kerjasama dalam merangka dan mengendalikan program latihan atlet tanpa mengenal erti penat.

“Hanya Allah yang mampu membalas jasa anda. Semoga pasukan olahraga negara akan meneruskan momentum kecemerlangan mereka di bawah kepimpinan Presiden KOM yang baharu.

“Walaupun bukan lagi menjawat jawatan ketua jurulatih kebangsaan, saya akan meneruskan khidmat saya bersama dunia sukan olaharaga sebagai Pensyarah Kejurulatihan, dan sentiasa bersedia membantu atlet dan jurulatih selagi berupaya dan diperlukan,” katanya. – MalaysiaGazette