Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 03 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan bahawa sebanyak 15,042 kanak-kanak dan remaja dilaporkan hilang sejak 2011 sehingga Mei 2019.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, statistik itu berdasarkan data yang diperolehi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Daripada jumlah itu, sebanyak 14,679 orang kanak-kanak telah berjaya dijumpai semula iaitu 97.6 peratus.

“Manakala 363 orang kanak-kanak yang hilang masih belum ditemui pihak berkuasa dan malangnya jumlah kanak-kanak yang dijumpai mati adalah 26 kes,” katanya di Dewan Rakyat pagi tadi.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen atu Kawan (DAP), Khasturi Patto yang meminta kementerian itu menjelaskan usaha kerajaan menangani kes kehilangan 831 kanak kanak dan remaja dalam tempoh sembilan tahun ini.

Wan Azizah berkata, kementeriannya mengambil serius kehilangan kanak-kanak dan remaja perempuan dan mengakui langkah-langkah pencegahan dan advokasi perlu dipertingkatkan lagi.

Dalam statistik kehilangan yang dilaporkan, katanya, Johor mendahului senarai dengan 2,732 kes manakala Perlis merekodkan kes kehilangan terendah iaitu 298 kes walaupun majoritinya ditemui semula.

Katanya, terdapat lima punca utama menyumbang kepada kehilangan kanak-kanak tersebut.

“Mencari kebebasan diri dari belenggu keluarga, terpengaruh ajakan gerakan, dipengaruhi kekasih untuk melarikan diri dari rumah yang mana 2,252 kes kebanyakannya melibatkan wanita, pertelingkahan keluarga dan tidak minat belajar (dan) mencari kerja.

“Maka dengan sistem maklumat dan talian Nur Kasih dan sebagai segala penyebaran maklumat kehilangan kanak-kanak diperhebatkan dan dipertingkatkan,” jelas beliau.

Selain itu Wan Azizah berkata, pihaknya juga telah menjalin kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mempertingkatkan keberkesanan keselamatan bagi menangani kes pemerdagangan manusia melibatkan kanak-kanak warga asing di negara ini termasuk penjualan organ.

“Kita memang memandang serius penjualan organ melibatkan kanak-kanak warga asing di negara ini dan memerlukan langkah dari KDN,” ujarnya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.