Datuk Suboh Md Yassin. foto AFFAN FAUZI, 03 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan SRC International Sdn. Bhd. yang masuk hari ke-32 disambung dengan soal balas saksi berhubung pertuduhan penyewelengan dana RM42 juta yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang tiba seawal 8.50 pagi di Mahkamah Tinggi sempat melemparkan senyuman ke arah media serta berbual dengan beberapa orang sebelum masuk ke kandang tertuduh.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali memulakan prosiding pada jam 9.15 pagi dengan Peguam Negara memohon tarikh permohonan sambungan perbicaraan sebelum sesi soal balas antara saksi dengan peguam bela, Harvinderjit Singh dimulakan.

Saksi ke-42 yang merupakan bekas pengarah bukan eksekutif SRC International, Datuk Suboh Md Yassin semalam memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak terlibat dalam pemindahan dana daripada syarikat itu kepada dua subsidiarinya, Gandingan Mentari Sdn. Bhd. dan Ihsan Perdana Sdn. Bhd.

Malah ketika di soal bertalu-talu tentang perbezaan tandatangan pada dokumen SRC yang pernah ditandatanganinya sebelum ini, Suboh mengakui iia berkemungkinan bukan tandatangan beliau.

Suboh, 68, juga bersetuju bahawa sampel tandatangan itu tidak serupa dengan tandatangan pada dokumen, termasuk arahan kepada AmIslamic Bank, untuk pemindahan wang dari SRC International kepada Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana.

Beliau mengakui ketika disoal ketua pasukan peguam bela, Tan Sri Shafee Abdullah bahawa tandatangannya pada dokumen bank yang membenarkan transaksi dilakukan antara tahun 2014 dan 2015 dipalsukan.

Mahkamah Tinggi juga difahamkan Suboh telah beberapa kali menukar keterangan kepada Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang 17 tandatangan yang ditutunkan beliau bagi memberi arahan perbankan untuk pemindahan wang yang  melibatkan Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana.

Untuk rekod, Gandingan Mentari ialah subsidiari SRC International manakala Ihsan Perdana pula merupakan anak syarikat yang menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Najin turut berdepan dengan tuduhan pecah amanah serta salah guna kuasa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette