Isnaraissah Munirah. foto NOOREEZA HASHIM, 03 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis mengambil jalan mudah apabila tidak mahu menjawab sebarang soalan berhubung isu pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor.

Sebaliknya, beliau menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada bosnya, Yeo Bee Yin untuk merungkai sebarang isu berkaitan.

Katanya, sebarang perkara mengenai pencemaran udara tersebut perlu diutarakan kepada Bee Yin yang kini sedang mengadakan lawatan ke lokasi pencemaran.

“Sekarang ini yang berhormat menteri (Bee Yin) berada di Pasir Gudang. Jadi adalah lebih baik kitu tunggu beliau sendiri yang umumkan keadaan di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas melakukan pra perasmian Persidangan dabn Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko (UGEM) 2019 di sini hari ini.

Sebelum itu, perasmian majlis berkenaan dijadualkan akan dilakukan oleh Bee Yin.

Sebelum ini terdapat dakwaan tiada tindakan diambil terhadap kilang kimia di Pasir Gudang sehingga menyebabkan pencemaran udara di daerah itu berlaku sejak seminggu yang lalu.

Malah, tersebar di laman sosial sejak semalam apabila ada pihak mendakwa kononnya kilang yang melepaskan sisa buangan ke dalam sungai ada kaitan dengan suami Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang juga Ketua Pegawai Eksekutif IOI Properties Group Bhd Lee Yeow Seng.

Bee Yin menyelar tuduhan itu dan menganggap ia penghinaan kepada ratusan pegawai kerajaan dari semua agensi yang terbabit dalam menangani insiden di Pasir Gudang.

Beliau turut menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah kerana menyalah gunakan kebebasan bersuara. – MalaysiaGazette