Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Dr. Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Enam langkah jangka pendek telah diputuskan untuk pelaksanaan bagi menangani kesesakan teruk di pintu masuk negara khususnya di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor.

Langkah-langkah itu diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Kajian Cadangan Penubuhan Badan Tunggal Menjaga Sempadan Negara dan Pintu-Pintu Masuk Termasuk Pelabuhan-Pelabuhan hari ini yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang antara agenda utamanya adalah memudahcara perdagangan.

Menurut kenyataan daripada Pejabat Timbalan Perdana Menteri, mesyuarat berkenaan mengambil maklum berkaitan isu kesesakan dan cabaran pengurusan di CIQ BSI dan CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) (CIQ Second link) serta bersetuju supaya prasarana dan sistem dipertingkatkan keberkesanannya bagi memastikan isu kesesakan di kedua-dua pintu masuk itu dapat diatasi.

Kenyataan itu menyebut pelaksanaan langkah pendek bagi menangani senario kesesakan adalah pembukaan semula kaunter Malaysia Automated Clearance System di KSAB pada 19 Jun; perolehan tender bagi MACS bernilai RM9 juta dijangka selesai pada akhir Dis ini; memobilisasi pegawai bertugas di kaunter tidak sesak ke kaunter yang lebih sesak.

Turut diputuskan adalah pembukaan laluan kontra di laluan ketibaan kereta; mewajibkan kerja lebih masa semasa pertukaran syif (7 pagi – 8 pagi); dan pembukaan penuh kaunter motosikal Mbike, kata kenyataan itu.

Di samping itu, mesyuarat berkenaan juga memutuskan langkah jangka panjang iaitu penambahan bilangan kaunter MBike bagi motosikal keluar dari Malaysia; pengecualian biometrik bagi pelawat yang keluar; pengisian perjawatan Jabatan Imigresen Malaysia pada kadar 99 peratus; kerjasama bilateral Malaysia-Singapura bagi “single clearance”.

Turut diputuskan adalah bagi memperluas penggunaan auto-gate kepada semua pelawat asing; penambahan mesin pengimbas Kastam; penambahan bilangan kaunter lori di KSAB menjadikan jumlah yang setara dengan Tuas; penggunaan kaunter hybrid; dan pembangunan immigration integrated system (IIS) dengan ciri-ciri automasi.

“Mesyuarat itu secara dasarnya bersetuju agar kajian cadangan penubuhan badan tunggal menjaga sempadan negara dan pintu-pintu masuk termasuk pelabuhan-pelabuhan dilaksanakan memandangkan ia adalah relevan dengan situasi masa kini serta kajian perlu mengambil kira kesemua keperluan seperti kewangan, sumber manusia, logistik dan akta-akta yang berkaitan,” kata kenyataan itu.

Pelaksanaan kajian berkenaan dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang juga bertindak sebagai urus setia selain turut menyebut skop kajian meliputi tiga domain iaitu darat, udara dan laut dan fokus kajian pada peringkat ini adalah domain darat. Kajian akan berakhir pada pertengahan tahun depan, kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan hasil dapatan awal terdapat tiga cadangan opsyen badan tunggal yang boleh dilaksanakan iaitu Selaras dan Integrasi (konsep reformatif), Baharu (konsep transformatif); dan Gabungan (konsep transformatif).

“Badan tunggal yang dicadangkan akan memudahcara perdagangan dan pada masa sama meningkatkan penguatkuasaan, kawalan keselamatan dan koordinasi antara agensi,” katanya.

Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet itu adalah susulan daripada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 16 Nov tahun lalu yang menyatakan bahawa senario kesesakan teruk di pintu-pintu masuk negara khususnya di CIQ BSI masih berlarutan walaupun langkah-langkah tertentu telah diambil untuk menangani isu itu. – MalaysiaGazette