Sebahagian daripada serpihan pesawat Boeing 737 Max 8 Ethiopian Airlines yang terhempas pada 10 Mac 2019. foto Reuters

CHICAGO – Boeing memberi sebanyak AS$100 juta kepada keluarga mangsa nahas pesawat 737 Max di Indonesia dan Ethiopia.

Pembayaran itu dilihat akan membebaskan syarikat pembuat syarikat pesawat itu daripada tindakan undang-undang yang difailkan oleh keluarga-keluarga mangsa.

Kedua-dua nahas membabitkan 737 Max itu telah mengorbankan 346 orang.

Boeing dalam kenyataannya berkata, dana ini akan menyokong pendidikan, kepayahan dan perbelanjaan hidup untuk keluarga yang terlibat serta program komuniti dan pembangunan ekonomi di masyarakat.

” Boeing akan bekerjasama dengan kerajaan tempatan dan organisasi bukan keuntungan untuk menangani keperluan ini. Pelaburan permulaan akan dibuat lebih dari satu tahun,” katanya.

Bagaimanapun, peguam kepada keluarga mangsa menolak tindakan itu.

Nahas Ethiopia Airlines ET302 pada bulan Mac lalu adalah kemalangan maut kedua yang melibatkan 737 Max dalam tempoh lima bulan.

Pada bulan Oktober 2018, pesawat sama milik Lion Air, terhempas di perairan Indonesia.

Penyiasat nahas telah memfokuskan kepada sistem kawalan pesawat dan Boeing telah bekerjasama dengan pengawal selia untuk melancarkan peningkatan perisian.

Operasi pesawat 737 Max telah digantung di seluruh dunia sejak Mac, tanpa tarikh sebenar untuk terbang semula. – MalaysiaGazette